KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai landskap politik normal baharu susulan tercipta sejarah tersendiri dengan melibatkan pertandingan pelbagai penjuru bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, seramai 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding dengan nisbah satu kerusi 6.6 peratus calon.
Iklan
Iklan
"Itu suatu normal baharu dalam landskap politik Malaysia dan ini sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan di sini hari ini.
Pada PRU14, seramai 252 calon bersaing untuk 60 kerusi DUN Sabah dengan jumlah persaingan hanya melibatkan tiga hingga enam penjuru sahaja.
Bagaimanapun, PRN Sabah kali ini menyaksikan 391 calon daripada 16 parti dan 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu yang diwartakan tahun lalu.
Ditanya mengenai perkembangan hasrat Gerakan menyertai gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), Dominic menjawab ringkas:"Tunggu untuk pengumuman.”
Media sebelum ini melaporkan bahawa Gerakan telah menyatakan hasrat tersebut kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah dipersetujui semua ahli jawatankuasa pusat parti itu, Mei lalu. - Bernama