Kerjasama Mara, AIM bantu usahawanita IKS

Iklan
Azizah (dua dari kiri) dan Junaidah (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Bangkit Kembali Amanah Ikhtiar Malaysia di Dewan Terbuka Koundo, Kampung Kebatu, Beaufort hari ini.

BEAUFORT - Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi meningkatkan keupayaan peniaga wanita industri kecil dan sederhana (IKS).

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, AIM akan bertindak sebagai organisasi yang menyediakan kemudahan pinjaman kewangan manakala Mara memainkan peranan sebagai pembimbing usahawanita.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau difahamkan terdapat 99 peratus Sahabat AIM merupakan pembayar balik yang baik dan membuktikan wanita mampu menjadi usahawan cemerlang.

"Pelbagai organisasi menawarkan kemudahan pinjaman untuk modal permulaan perniagaan malah kemudahan latihan, bimbingan dan khidmat nasihat yang disediakan turut dimanfaatkan ramai usahawanita bagi memperluaskan pasaran perniagaan mereka.

Iklan

"Dengan adanya perkembangan teknologi, wanita kini boleh memulakan perniagaan dalam talian yang menyediakan platform mudah mendekati pelanggan,” katanya pada perasmian Program Bangkit Kembali AIM di Dewan Terbuka Koundo, Kampung Kebatu di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi AIM, Datuk Junaidah Kitin dan Ahli Lembaga AIM, Datuk Mohamad Farid Mohamad Ali.

Iklan

Turut hadir, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Lajim Ukin dan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Isnin Aliasnih.

Sementara itu, Junaidah berkata, AIM menyediakan pembiayaan berjumlah RM24.9 billion membabitkan 400,000 Sahabat AIM.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak RM2.3 billion disalurkan kepada hampir 64,000 usahawan wanita di Sabah.

Menurut beliau, terdapat hampir 3,000 Sahabat AIM di Beaufort dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM188 juta dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

"AIM tidak pernah berhenti untuk membantu wanita keluar dari garis kemiskinan, seterusnya membina kehidupan lebih baik melalui pelbagai program bimbingan dan latihan seperti teknik pemasaran digital,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima Sijil Penghargaan Sahabat Cemerlang daripada Sahabat Pusat An-Nur Rancangan Klias, Noridah Gamuli, 50, berkata, dia mengenali AIM sejak 30 tahun lalu dan meminjam RM1,000 sebagai modal menjalankan perniagaan runcit.

Sehingga hari ini, katanya, dia masih menerima suntikan modal dari AIM untuk mengembangkan lagi perniagaan.

"Pinjaman diberi itu amat bermakna untuk usahawanita,” katanya.