LONDON - Penulis buku siri Harry Potter, JK Rowling didakwa memainkan sentimen Islamofobia selepas satu petikan daripada novel jenayahnya, The Silkworm dikongsi menerusi laman sosial Twitter, lapor portal berita Daily Mail pada 18 September lalu.
Penulis berkenaan didakwa menulis buku itu yang diterbitkan pada tahun 2014 dengan menggunakan nama samaran iaitu Robert Galbraith tentang seorang detektif yang menyatakan seorang wanita berpakaian burka memberi makanan halal kepada seorang mangsa pembunuhan sebelum dia meninggal dunia.
Portal tersebut menyiarkan petikan seterusnya yang menyatakan:"Bolehkah anda berfikir tentang cara lain untuk melindungi muka dan badan anda dengan sepenuhnya yang tidak membolehkan orang lain mencabar anda?"
Pendedahan itu dibuat selepas satu siri dakwaan transfobia terhadap Rowling selepas dia membidas satu artikel yang menggunakan terma 'orang yang didatangi haid' berbanding golongan wanita.
Perkataan transfobia adalah merujuk kepada individu yang tidak menyukai golongan transgender.
Dakwaan tersebut diburukkan lagi dengan buku terbaharunya, Troubled Blood yang diterbitkan pada Selasa lepas.
Buku itu menceritakan tentang seorang lelaki yang memakai pakaian seperti seorang wanita untuk membunuh mangsanya.
Ia dianggap sebagai satu kiasan kesusasteraan tetapi dikritik oleh beberapa aktivis kerana menggambarkan sisi stereotaip yang negatif mengenai golongan transgender.
Kini, dia menjadi tumpuan kritikan berhubung buku yang dihasilkannya pada tahun 2014 yang didakwa memainkan sentimen Islamofobia dan transfobia selepas seorang penulis Britain, Laurie Charles menyiarkan satu petikan novel tersebut menerusi Twitter.
Novel itu menceritakan kisah mengenai Cormoran Strike dan pembantunya yang muda, Robin Ellacott yang cuba untuk menyelesaikan pembunuhan seorang penulis novel, Owen Quine.
Quine menulis sebuah buku tentang hampir setiap orang yang telah ditemuinya.
Menurut petikan tersebut, Strike dan Ellacott membincangkan tentang kes tersebut di dalam sebuah tren bawah tanah di depan seorang wanita yang memakai hijab dan digambarkan sebagai mempunyai sepasang mata coklat cair.
Strike memberitahu Ellacott bahawa dua saksi melihat seorang wanita berpakaian burka memasuki bangunan yang menjadi tempat mangsa pembunuhannya menginap.
Rowling kemudian menulis dalam novel itu bahawa wanita berkenaan memakai burka dan kemungkinan dia ialah seorang lelaki dan membawa makanan halal yang dibeli untuk dibawa pulang.
Charles kemudian mengulas tentang buku berkenaan dengan berkata:"Rowling membuat kenyataan ke atas golongan transgender dan mengancam untuk menyaman sesiapa yang menggelarkannya sebagai transfobia tetapi dia telah terlebih dahulu menghantar manuskrip (buku The Silkworm) kepada penerbit."
Hantaran di Twitter itu telah mendapat lebih 1,300 ulang ciap dengan ramai pengguna menuduhnya sebagai penulis berfahaman perkauman.
"Amat jelas, Rowling juga seorang perkauman," kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna berkata:"Bukan sahaja transfobia tetapi Islamofobia juga. Saya kesal menghabiskan wang untuk (buku) Harry Potter."
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen menemui kegagalan apabila wakil Rowling enggan membuat kenyataan. - Agensi