KOTA KINABALU - Penyanyi tempatan Jimmy Palikat berhasrat mengikut jejak langkah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan apabila menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Beliau berkata, walaupun harapan untuk menang adalah sangat tipis namun apa sahaja boleh terjadi kerana tidak semestinya calon yang dilihat boleh menang pasti akan menang.
"Pada Disember 1984, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah menjadi calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil Tambunan dan beliau menang. Jadi saya menjadikan ia satu inspirasi untuk bertanding sebagai calon Bebas di Tambunan pada PRN ini.
"Sekiranya diberi mandat oleh rakyat, saya akan menyokong siapa sahaja yang menjadi kerajaan asalkan kerajaan itu dapat membawa misi dan visi saya untuk rakyat Tambunan,” kata penyanyi berusia 41 tahun itu yang popular dengan lagu ‘Anak Kampung’ kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, misi dan visi beliau ialah untuk membangunkan Tambunan dan ekonomi penduduk setempat.
"Saya percaya rakyat Tambunan khususnya mahukan pemimpin baharu dan muda. Saya mahu naikkan taraf sosioekonomi Tambunan kerana rakyat di situ perlukan kemudahan asas.
"Sebelum ini, ahli politik yang ada sentiasa sibuk berpolitik sampai lupa rakyat dan pembangunan Tambunan,” kata beliau yang baharu sahaja memulakan kempen semalam kerana berkabung beberapa hari selepas bapanya meninggal dunia lebih seminggu lepas.
Menurutnya, beliau memulakan kempen dengan mendekati pengundi muda di kawasan Tambunan kerana selama ini beliau telah memerhatikan dan mendapati pengundi muda mahukan pemimpin baharu yang lebih segar untuk menjadi wakil rakyat mereka.
"Saya juga pergi rumah ke rumah untuk berjumpa dengan pengundi serta mengambil pendekatan berkempen secara santai kerana penduduk Tambunan memang mengenali saya,” katanya.
Kerusi DUN Tambunan menyaksikan pertandingan enam penjuru dan Jimmy akan berdepan dengan Calon PN Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Selverius Bruno (PBS), Nordin Jaini (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Laurentius Nayan Ambu (UPKO) dan Damian Marcus Pootung (Parti Cinta Sabah).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, DUN Tambunan dimenangi Jeffrey dengan majoriti 1,037 undi dalam pertandingan empat penjuru. - Bernama