Menghargai sastera Melayu pascamoden

Iklan

SUDAH panjang hayat sastera Melayu pascamoden, yang bermula sejak 1970-an. Penghijrahan daripada realisme ke surealisme Bukan Lalang Ditiup Angin karya Noordin Hassan, sebagai pembuka pintu kepada zaman baharu itu. Ia mengambil iktibar daripada kelahiran surealisme di Barat, Waiting for Godot karya Samuel Beckett. Dalam usianya yang menjangkau setengah abad, elok sekali dibuat penilaian terhadap kedudukan dan pencapaiannya.

Pascamodenisme lahir hasil tentangan terhadap modenisme yang gagal mentadbir manusia dan mengakibatkan berlakunya dua peperangan dunia. Manusia kehilangan harapan, sejarah dan masa depan, lalu mengimpikan anjakan dunia baharu, lahirlah zaman pascamoden.

Iklan
Iklan

Konsep pertamanya, yang menjadi teras ialah penentangan total terhadap aliran realisme. Ini bererti sebagai sanggahan terhadap falsafah modenisme.Kedua, karya yang mementingkan gagasan, pemikiran dan falsafah seperti konsep keberadaan dan eksistensial manusia. Karyanya cenderung kepada ideologi dan wacana intelektual.

Ketiga, paksi karya terletak pada pedagogi dan moralistik, yang tersembunyi dan tidak diucapkan. Pengarang mengangkat subjek-subjek prima yang menjadi permasalahan masyarakat, terutamanya yang berhubungan dengan politik dan kekuasaan.

Iklan

Keempat, membongkar dikotomi antara kota dan desa, antara kaya dan miskin. Kota yang menjadi pusat tamadun, dan kaya sebagai petanda kekuasaan ekonomi, dikurangkan jurangnya; akhirnya perlahan-lahan secara liberal duduk bersama, tiada perbezaan.

Keenam, politik dan kekuasaan sebagai wacana utama atau master-discourse. Politik dan kekuasaannya adalah dua subjek kembar. Segala bentuk penindasan, kezaliman dan hegemoni hendaklah dibanteras. Pascamodenisme menjadikan dirinya sebagai pejuang pembebasannya. Pengarang dianggap sebagai pemikir zaman.

Iklan

Selain Bukan Lalang Ditiup Angin (1973) untuk drama, pelopor pascamoden lainnya adalah untuk novel Sampah (1973) dihasilkan oleh Shahnon Ahmad, puisi Chorus Manusia Pengungsi oleh Suhaimi Haji Muhammad (1974), dan Fakurdabakia (1975) untuk cerpen Mana Sikana.

Dekad 1970-an terkenal sebagai zaman unrealisme itu didokong juga oleh Dinsman, Johan Jaaffar, A. Latiff Mohidin, A. Ghafar Ibrahim (AGI), Arena Wati, Syed Alwi, dan S. Othman Kelantan. Dekad seterusnya, karya bersifat intertektual, semiotik dan metahistoriografik mula dihasilkan oleh Anwar Ridhwan, Othman Puteh, Anuar Nor Arai, Wan Ahmad Ismail, Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan.

Sementara pengarang mapan, Muhammad Haji Salleh menulis intertekstual Sajak-sajak Dari Sejarah Melayu (1981). Daerah Zeni (1985) dan Hujan Pagi (1992) karya A. Samad Said, memparodi teks pascamoden Amerika Latin, realisme magis. Shahnon Ahmad melanjutkannya dengan Patriarch (1995), dan Daun (2008) karya Malim Ghozali PK. Arena Wati menulis metafiksyen historiografik melalui Sukma Angin (1999), dan 1515 (2002) karya Faisal Tehrani. Saya juga menghasilkan novel Ronjang (1986), Klimaks (1989), Kesesatan (1993) dan Syajar (1996) sebagai teks absurd.

Karya-karya pascamoden dengan cepat memikat khalayak, justeru penulisan, persembahan, teknik dan gayanya yang lincah dan menarik. Teks-teksnya terkelompok dalam genre metafiksyen, yang berjaya menolak narasi besar dan semua konvensi sastera. Pascamoden telah mengubah landskap sastera Melayu; akhirnya ia diterima sebagai sastera arus perdananya.

Daripada bentuk dan corak karya, ciri-ciri pascamoden itu dapat disimpulkan; ia bersifat Fragmentation, merujuk kepada struktur teks yang berpecah-pecah dan terpecah, tidak lagi mentaati kepada kesatuan dan koheren. Discontinuity, wataknya tidak beridentifikasi, tiada berhubungan, malah kadang-kadang tiada bernama dan tiada dijelaskan asal usulnya.

Metafora

Indeterminacy, menekankan sesuatu yang tidak tetap, sengaja tidak dijelaskan, disembunyikan dan berselindung di sebalik metafora, alegori, imej dan sebagainya. Plurality ialah kepelbagaian, membinasakan kesatuan, dan tidak jejak kepada sesuatu. Heterogeneity lebih kepada sifat kerencaman, tetapi dalam sebuah keluarga. Dislocation tiada dijelaskan latarnya, ia boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Hasil daripada sebuah penyelidikan geran universiti, saya membentangkan sebuah kertas kerja ‘Sastera Pascamodernisme dan Penjelmaannya dalam Sastera Melayu’ dalam Kongres Bahasa dan Sastera Melayu tahun 1993 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Itulah pertama kalinya, bagi menyatakan bahawa sastera Melayu telah memasuki zaman pascamoden. Ertinya penemuan sastera Melayu pascamoden pada tahun 1993. Sepuluh tahun kemudian, tahun 2004 saya menghasilkan buku kajian Sastera Melayu Pascamodenisme.

Sepanjang hayat kehadirannya, ia telah mendapat banyak pengiktirafan. Kertas Kesusasteraan Melayu 1984, drama Noordin Hassan, Jangan Bunuh Rama-Rama dan Di Pulau Sadandi oleh Dinsman menjadi teks sastera.

Pada 1988, saya mengumpulkan drama dalam Drama Penantian, yang juga menjadi buku teks sastera; antaranya drama Pengadilan dikategorikan sebagai karya absurd. Naratif Ogonshoto (2001) novel Anwar Ridhwan, juga terpilih sebagai novel kajian.

Pengiktirafan antarabangsa Sea Write Award telah dianugerahkan kepada pascamodenis seperti Noordin Hassan, Zakaria Ariffin, Hatta Azad Khan dan Ismail Kassan. Malah Noordin Hassan diberi anugerah tertinggi Sasterawan Negara ketujuh tahun 1993.

Anwar Ridhwan pula Sasterawan Negara ke-10 pada tahun 2009. Zurinah Hassan yang terkenal dengan puisi intertektual, pastis, metafiksyen dan historiografik penerima anugerah Sasterawan Negara ke-13 pada tahun 2014. Segala pengiktirafan ini membunuh semua kecurigaan dan prasangka para pengumpat sastera terhadap kemampuan sastera pascamoden negara.

Daripada kalangan penulis generasi selanjutnya, yang memegang fahaman pascamodenisme ialah seperti Zaen Kasturi, Azmah Nordin, S.M. Zakir, Faisal Tehrani, Masli N.O. dan Mawar Shafie. Ada tanda-tanda angkatan penulis seterusnya seperti Fahd Razy, Fadli Al-Akiti, Hazwan Ariff Hakimi, Aidil Khalid dan Saharil Hasrin Sanin, terus membina legasi sastera pascamoden itu. Tidak syak lagi, kehadiran sastera pascamodenisme telah dimanfaatkan sebaiknya oleh para pengarang.

Dunia pascamoden dengan sastera pascamodenisme, telah dan sedang melakar sejarah sastera tanah air, dan sedang berada di hadapan sastera Melayu.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia