GEORGE TOWN - Perbadanan Bukit Bendera (PHC) menjangkakan yang Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya akan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Rizab Biosfera dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengurus Besarnya, Datuk Cheok Lay Leng berkata, Kabinet baru-baru ini telah meluluskan kertas kerja untuk permohonannya yang dibentangkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Iklan
Iklan
"Kami dimaklumkan awal September yang Kabinet telah meluluskan kertas kerja yang akan dihantarkan kepada UNESCO di mana ia mungkin akan mengambil masa dua tahun untuk dinilai,” katanya kepada pemberita selepas perasmian ‘Banglow Hillside Retreat’ oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Lay Leng berkata, Rizab Biosfera Bukit Bendera akan merangkumi Bukit Bendera sebagai taman utama, Taman Negara Teluk Bahang dan Taman Laut dengan kawasan seluas lebih 12,000 hektar dengan pihaknya telah menentukan zon teras, zon penampan, zon peralihan serta zon yang perlu dipelihara dengan jelas.
Bukit Bendera yang terdiri daripada hutan simpan semula jadi yang belum terusik itu didapati mempunyai 85 spesies bunga orkid, lebih 100 spesies burung, tiga spesies monyet ikonik selain beberapa tumbuhan, semut dan pelbagai spesies labah-labah.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pengiktirafan itu akan memberi manfaat kepada semua penduduk Pulau Pinang dan akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Bukit Bendera.
Beliau berkata, seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, ia telah meningkatkan sektor pelancongan dan menarik lebih ramai kedatangan pelancong luar sebelum terjadinya pandemik Covid-19. - Bernama