KOTA KINABALU - Selepas seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung, aktiviti perniagaan yang suram akibat wabak koronavirus (Covid-19) kini mula menjadi tumpuan dengan kehadiran pengunjung yang berkempen di seluruh negeri terutama di Kota Kinabalu.
Walaupun hanya datang berkunjung untuk berkempen, namun terdapat juga petugas yang terbabit dalam PRN singgah memeriahkan semula aktiviti ekonomi penduduk di negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian di barisan gerai menjual lokan bakar di Kampung Salut di sini mendapati kawasan itu sudah mula mendapat perhatian pengunjung sejak seminggu lalu.
Seorang pemilik gerai lokan bakar di kawasan itu, Norsidah Jhonny, 23, mengakui barisan gerai di kawasan itu mula dikunjungi orang ramai terutama mereka yang berkempen untuk memperkenalkan calon.
"Tetapi hanya sebahagian yang singgah makan, selebihnya hanya datang untuk perkenalkan calon saja.
"Mungkin faktor sibuk berkempen menyebabkan kunjungan dari luar masih belum memberangsangkan dan mungkin akan rancak masuk minggu kedua berkempen," katanya ketika ditemui digerainya di Kampung Salut di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Perang poster meriah di bandar, suram di luar bandar
Menurut seorang lagi pemilik gerai dikenali sebagai Adie, 31, ada sebahagian petugas yang terbabit dalam PRN datang untuk menikmati lokan bakar di gerainya.
"Kalau pengunjung berkempen yang datang dari luar terutama dari Semenanjung memang masih kurang tetapi petugas seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada datang makan di sini.
"Tidak terlalu meriah, tetapi tetap bersyukur berbanding ketika berhadapan fasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila hampir semua sektor ekonomi terpaksa dihentikan sementara tempoh hari," katanya.
Katanya, sekurang-kurangnya dengan adanya PRN ini akan menambah kunjungan daripada pengunjung luar terutama mereka yang datang dari Semenanjung dan seterusnya merancakkan semula aktiviti perniagaan mereka di kawasan itu.
Terdahulu, Kampung Salut yang terletak 22 kilometer dari Kota Kinabalu terkenal dengan lokan bakar, kelapa bakar, puding kelapa dan jagung bakar sering menjadi tumpuan dan lokasi wajib bagi pelancong asing dan dalam negara singgah.