BEAUFORT - Peneroka di Rancangan Klias mendakwa sumber pendapatan mereka terjejas akibat masalah perparitan yang berlaku di beberapa kawasan lot kelapa sawit.
Masalah itu menyebabkan lot-lot milik peneroka sentiasa digenangi air sehingga menyebabkan proses pengeluaran buah sawit tidak dapat dikeluarkan mengikut jadual ditetapkan.
Peneroka, Thaufick Marsha, 64, berkata, pendapatan purata bulanan yang diperoleh hasil tuaian kelapa sawit di lot mereka dilihat kurang antara RM400 sehingga RM500 sebulan.
"Saya sudah menjadi peneroka hampir 40 tahun lebih, jika sebelum ini pendapatan agak memuaskan, namun sekarang berkurangan disebabkan masalah perparitan yang menyukarkan kami mengeluarkan hasil.
"Lot kelapa sawit saya diusahakan anak-anak dan berharap masalah perparitan dapat diatasi supaya kami dapat mengeluarkan hasil pada waktu ditetapkan,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Ceramah Perdana bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mohd Redzuan Mohd Yusof di sini malam tadi.
Perkara sama turut disuarakan seorang lagi peneroka, Bongsu Duakim, 69, yang mahukan sistem perparitan di kawasan lot-lot peneroka ditambah baik pada masa akan datang.
Bongsu yang juga hampir 40 tahun menjadi peneroka kelapa sawit di ladang Rancangan Klias juga mengakui tidak dapat mengeluarkan hasil pada musim hujan.
"Sehingga sekarang saya masih lagi menuai hasil kelapa sawit, namun masalah perparitan menjadi antara punca hasil kami tidak dapat dikeluarkan.
"Jadi, saya dan rakan lain berharap sistem perparitan ini dapat diatasi apabila wakil rakyat baru dapat dipilih nanti,” katanya.
Menurutnya, dia kini dibantu dua orang anaknya dan memperoleh pendapatan bulanan yang dianggarkan hampir mencecah RM700 sebulan.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias Datuk Isnin Aliasneh berkata, pihaknya mengambil maklum permasalahan yang dihadapi peneroka dan akan mengambil tindakan sewajarnya apabila diberi mandat rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.