Jeffrey tak pandang mudah usaha pertahan kerusi DUN Tambunan

Iklan
Jeffrey Kitingan - Foto Bernama

TAMBUNAN - Meskipun pernah diangkat sebagai ‘pembunuh gergasi’ dan ‘penentu kuasa’ dalam pilihan raya sebelum ini, Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak memandang enteng usaha bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung Sabtu depan.

Tambahan pula Tambunan adalah antara 17 kerusi yang bakal menyaksikan ‘pertembungan mesra’ antara Barisan Nasional (BN) dan sekutunya.

Iklan
Iklan

Lulusan Universiti Harvard itu mendapat julukan gelaran pembunuh gergasi selepas menewaskan ‘Huguan Siou’ atau pemimpin agung komuniti Kadazandusun yang juga abangnya, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan di kubu kuat yang dikuasai Pairin sejak 1976 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Beliau tampil sebagai penentu kuasa pada pilihan raya umum lepas apabila partinya STAR yang memenangi dua kerusi menyertai Barisan Nasional (BN) sekali gus membuka jalan kepada gabungan tersebut membentuk kerajaan negeri setelah BN dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing memenangi 29 kerusi DUN yang ketika itu mempunyai 60 kerusi.

Iklan

Dalam pertarungan enam penjuru bagi merebut kerusi DUN Tambunan pada PRN Sabah ke-16, Jeffrey yang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan sekutu gabungan itu, Sylvernus Bruno daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Damian Richard Marcus Podtung (Parti Cinta Sabah-PCS), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (UPKO), Nordin Jaini @ Zaini (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan Jimmy Palikat (Bebas).

Jeffrey tidak pernah mengenal erti lelah atau putus asa ketika mahu bertemu para pengundi di kawasan majoriti Kadazandusun Murut.

Iklan

Beliau sanggup bersusah-payah untuk mendekati sejumlah 16,511 pengundi di DUN itu meskipun terpaksa meredah kegelapan malam dan menggunakan jalan tanah merah di kawasan pedalaman.

"Saya terpaksa menunggu seketika kerana ada segerombolan lembu sedang berehat di tengah-tengah laluan dalam keadaan gelap-gelita,” kata beliau semasa menceritakan pengalamannya ketika berkempen di Kampung Magatang yang terletak di pedalaman baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu bekerja keras siang malam sejak seminggu lepas untuk berkempen dan akan berusaha habis-habisan sehingga saat-saat akhir minggu depan sebelum hari pengundian pada 26 September ini.

"Saya percaya pertandingan kali ini saya akan menang. Sambutan dan sokongan baik walaupun ditentang rakan sendiri (PBS). Ini petanda yang baik dan menggalakkan. Kita lihat nanti,” katanya.

Ditanya mengenai sentimen pengundi yang mungkin memilih calon berbanding parti, Jeffrey mempunyai pandangannya sendiri.

"Apabila bercakap mengenai faktor calon dan parti, kedua-dua itu penting. Calon mencerminkan perjuangan manakala pimpinan parti pula menterjemahkan perjuangan jadi kenyataan.

"Kalau kita pilih calon tidak baik, parti akan kalah, jadi kedua-duanya penting,” kata Jeffrey.

Bagi calon UPKO, Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu, beliau sedar akan kehebatan Jeffrey namun status sebagai calon bukan pilihan tidak mematahkan semangatnya untuk berkempen dan memenangi kerusi DUN Tambunan sekali gus tampil sebagai ‘pembunuh gergasi’ pula pada PRN Sabah kali ini.

"Sepanjang berkempen, reaksi orang ramai cukup baik dan dari situ, timbul keyakinan momentum kemenangan boleh dicapai dengan usaha keras parti malah sokongan penuh pimpinan tertinggi mampu menjadi titik tolak kejayaan kita nanti,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Jimmy Palikat yang popular dengan lagu ‘Anak Kampung’ berkata, beliau akan menggunakan popularitinya untuk meraih perhatian pengundi sekali gus membantu masyarakat ke arah kehidupan lebih baik.

"Saya tidak fikir menang kalah. Saya serius ingin bantu rakyat. Orang muda perlukan kuda muda, bukannya kuda tua sahaja.

"Walau jauh lagi perjalanan, tapi saya akan cuba,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Dr Syahruddin Awg Ahmad berkata, Jeffrey mungkin menang di DUN Tambunan namun bukan dengan majoriti besar berikutan bilangan serta parti yang bertanding kali ini bakal memberikan saingan sama seperti pada PRU14. - Bernama