SKM peruntuk RM1 juta pulih 80 koperasi terjejas akibat Covid-19

Iklan
Mas Ermieyati ketika majlis penyampaian replika kepada wakil koperasi sempena Program Eksplorasi Koperasi Terengganu dan Pelancaran Program Pulih di Dewan Terbuka Kuala Besut semalam.

BESUT - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM1 juta bagi insentif promosi dan pemasaran serta penganjuran program pemulihan sokongan bermanfaat kepada lebih 80 koperasi terbabit dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri.

Inisiatif itu disalurkan menerusi Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi: Insentif Promosi dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama Pelancongan dan Penjagaan Diri (Pulih) yang bertujuan membantu koperasi terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehingga September 2020 SKM meluluskan bayaran insentif pulih berjumlah RM525,500 kepada 65 koperasi di negara ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak sembilan koperasi diluluskan untuk bayaran insentif pulih dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM70,000 di Terengganu.

Iklan

"Kementerian menyasarkan sumbangan perolehan koperasi berjumlah RM100 bilion menjelang 2030 seiring peranan sektor koperasi sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Pulih juga bertujuan membantu koperasi berdepan cabaran ekonomi semasa dalam jangka masa pendek selepas pembukaan semula ekonomi bagi sektor pelancongan dan penjagaan diri," katanya pada Program Eksplorasi Koperasi Terengganu dan Pelancaran Program Pulih di sini semalam.

Iklan

Katanya, program itu juga dapat mendorong dan membantu koperasi untuk menjana semula aktiviti serta meningkatkan pendapatan menerusi bantuan promosi dan pemasaran dan membantu kelangsungan koperasi bagi kedua-dua industri ini

"Gerakan koperasi ketika ini berada dalam era globalisasi dengan pasaran semakin mencabar jadi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) komited mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi inklusif, seimbang dan mampan.

"MEDAC sentiasa berusaha memastikan usaha membangunkan gerakan koperasi sebagai agenda utama selaras dengan objektif Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dan program ini mewujudkan produk dan perkhidmatan baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan inovasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut menggesa supaya koperasi lebih berani ke depan dalam merebut peluang perniagaan berskala besar.

"Dalam situasi mencabar kini saya menggesa Gerakan Koperasi menjadi lebih kreatif, berinovasi serta berani menceburi dan merebut perniagaan berskala besar,” katanya.