KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak bercadang untuk membenarkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad buat masa ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya belum lagi melihat cadangan itu serta ke arah pelaksanaannya.
Bagaimanapun, JPN bersedia untuk melihat kewajarannya sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.
"Kita perlu tengok dulu daripada segi arahan-arahan semasa yang kita keluarkan, sama ada boleh atau tidak untuk dilaksanakan. Bagi masa untuk kita lihat.
"Ia berbeza dengan pemakaian songkok dan kopiah yang sudah lama kita laksanakan. Terdapat kes-kes di mana pelanggan kita datang sendiri ke pejabat kita dengan bersongkok. Ia adalah amalan lama yang telah kita laksanakan.
"Tetapi tanjak masih belum ada kajian atau perkara yang membuatkan kita nak laksanakan. Kita akan tengok dulu macam mana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Ibu Pejabat JPN Terengganu di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.
Sebelum ini, Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad.
Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd Zainal berkata, tanjak adalah sebahagian daripada pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah yang dibenarkan ketika ini.
Katanya, persatuan itu kini dalam proses menyiapkan kertas kerja, sebelum diserahkan kepada kementerian berkaitan untuk dibawa ke perbincangan Kabinet sebelum diwartakan.