81,056 penduduk Malaysia hilang pekerjaan sejak Januari

Iklan
M Saravanan (tiga dari kiri) membuat gimik perasmian Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

SEREMBAN - Seramai 81,056 penduduk di Malaysia hilang pekerjaan dari tempoh Januari hingga 17 September lalu termasuk 25 peratus membabitkan golongan profesional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan berkata, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berlaku peningkatan sebanyak 104 peratus penduduk di negara ini yang hilang pekerjaan antara bulan Mac dan Mei tahun ini.

Iklan
Iklan

"Ini selari dengan kadar pengangguran negara yang melonjak kepada 5.3 peratus pada Mei lalu yang melibatkan seramai 826,100 penganggur.

"Statistik SIP menunjukkan majoriti yang hilang pekerjaan adalah kumpulan yang berumur 25 tahun hingga 34 tahun iaitu sebanyak 36.6 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.

Menurutnya, tiga industri dengan bilangan kehilangan pekerjaan tertinggi pula ialah sektor pembuatan, penginapan dan makanan dan minuman (F&B) serta sektor borong dan runcit.

Iklan

"Mengikut unjuran terkini, kadar pengangguran negara bakal mencecah 4.5 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, sejak program Penjana Kerjaya bermula pada 15 Jun sehingga 17 September lalu, seramai 12,435 majikan sudah membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,838 majikan membuat pengambilan pekerja dan seramai 37,340 individu pun mendapat pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kementerian menyasarkan Perkeso bekerjasama dengan semua hospital kerajaan menerusi program Rawatan dan Pemulihan Sokongan Pekerjaan Baru (Restart) sebelum akhir tahun ini.

"Ia bertujuan supaya lebih ramai bekas pesakit mental dapat kembali bekerja. Melalui program ini, pesakit diberikan pelbagai sokongan hebat termasuk menerusi portal MYFutureJobs.

"Ia sebagai langkah awal dalam membantu pesakit mental yang sudah pulih untuk kembali aktif bekerja. Setakat ini, sebanyak 48 peratus atau 80 peserta program pun berjaya mendapat pekerjaan," katanya.

Saravanan berkata, ia melibatkan kerjasama dengan enam buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur; Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia; Hospital Selayang; Hospital Melaka dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang.