Singapura catat 18 kes baharu termasuk empat kes import

Iklan
Singapura mengesahkan sejumlah 18 kes tambahan bagi jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 24 jam lepas dengan empat daripadanya kes import. Foto 123RF

SINGAPURA - Singapura mengesahkan sejumlah 18 kes tambahan bagi jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 24 jam lepas dengan empat daripadanya kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata, kesemua kes import telah diletakkan di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus tiba di Singapura.

Iklan
Iklan

Sementara itu, berdasarkan siasatannya setakat ini, MOH berkata, terdapat satu kes dalam komuniti yang membabitkan pemegang pas kerja.

Susulan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di republik tersebut ialah 57,576 kes.

Iklan

Kementerian itu berkata, ia sedang meneliti butiran kes terbabit dan kemas kini lanjut akan dikeluarkan malam ini.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan pada lewat Sabtu, kementerian itu telah mengklasifikasikan sejumlah 1,011 jangkitan yang dilaporkan sebagai kes import manakala 2,243 sebagai kes dalam komuniti dan 54,304 kes membabitkan penghuni asrama pekerja.

Iklan

Menurut MOH, sejumlah 57,142 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau fasiliti rawatan komuniti.

Sejumlah 27 kes yang disahkan masih berada di hospital namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi manakala 362 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan sedang dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, sejumlah 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan Covid-19 di republik itu.

Tidak ada kluster baharu dikesan semalam. - Bernama