TEMERLOH - Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera membongkar kegiatan mencuri balak dipercayai untuk dijadikan tiang pagar di Kompatmen 11, Hutan Simpan Chini Tambahan di sini kelmarin.
Sembilan tual balak spesis balau bernilai lebih RM34,000 yang siap dibelah dan sedia untuk dibawa keluar ahli sindiket itu ditemui kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera ketika membuat rondaan di kawasan terbabit.
Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, penguat kuasa turut merampas kenderaan jenis Toyota Unser dipercayai digunakan untuk memindahkan kayu selain dua motosikal.
Menurutnya, hasil risikan mendapati kegiatan menghasilkan kayu bergergaji secara haram untuk pasaran tempatan itu didalangi tiga hingga empat individu tempatan.
"Spesies balau mendapat permintaan tinggi masyarakat setempat untuk dijadikan tiang pagar dan dikatakan mencecah RM15 hingga RM20 sebatang mengikut jenis kayu.
"Kita percaya kumpulan ini menjadi pembekal utama tiang pagar yang dihasilkan daripada kayu seperti balau, kempas, merbau, keruing dan kelat," katanya.
Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan dalam tempoh antara tiga hingga lima hari lalu dan siasatan lanjut termasuk usaha mengesan pihak terlibat sedang dilakukan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat termasuk didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan ini aktif menceroboh dan mencuri kayu berkualiti tinggi dalam hutan simpan di daerah ini berikutan permintaan tinggi terhadap tiang pagar dan kayu bergergaji.