MTUC perlu ada mesyuarat khas

Iklan
Gambar dari kiri: Mohd Jafar, Abdul Halim

SHAH ALAM - Penyandang Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor menyifatkan persidangan perwakilan bagi penggal 2020-2022 masih belum selesai apabila undian bagi kerusi presiden berakhir dengan keputusan seri.

Abdul Halim berkata, berdasarkan perlembagaan sedia ada, pihak pengurusan atau Setiausaha Agung perlu memanggil semula Mesyuarat Majlis Am Khas MTUC bagi memilih calon jawatan presiden yang tidak dapat diselesaikan pada persidangan perwakilan semalam.

Iklan
Iklan

"Ini kerana tidak ada peruntukan lain dalam peraturan MTUC kecuali perlu diputuskan oleh perwakilan pada pemilihan itu.

"Jadi perlu ada Mesyuarat Majlis Am Khas bagi menetapkan tarikh pemilihan baharu untuk memilih jawatan presiden oleh wakil yang mendapat undian sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Pada persidangan perwakilan yang berlangsung semalam itu, Abdul Halim yang mewakili Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Peroleum dan Kimia (NUPCIW) meraih undi yang sama dengan pencabarnya, Mohd Jafar Abd Majid daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi (NUTE) apabila masing-masing meraih 136 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, walaupun itu bukan perkara biasa namun peraturan MTUC tidak membenarkan pelantikan itu dibuat sekiranya tiada keputusan dalam persidangan perwakilan.

Iklan

Katanya, MTUC juga tidak seharusnya merujuk mana-mana pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung perkara ini kerana ia akan berbalik kepada peruntukan sedia ada melalui Majlis Am MTUC.

Sementara itu, calon jawatan presiden, Mohd Jafar menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung MTUC dan ahli jawatankuasa baharu selain berharap penyelesaian segera.

Mohd Jafar yang juga Presiden NUTE berkata, perwakilan turut menyuarakan supaya perkara itu dapat disegerakan bagi mengelakkan barisan exco baharu MTUC tidak lengkap.

"Saya berharap kepimpinan baharu ini dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera melalui kaedah terbaik. Tiada halangan bagi pihak saya asalkan mendapat kebaikan semua pihak,” katanya.