WASHINGTON - Pihak berkuasa sempadan menahan seorang suspek wanita kerana didakwa menghantar surat mengandungi racun risin ke Rumah Putih.
Menurut agensi berita Sputnik, memetik laporan NBC Chicago, seorang pegawai penguat kuasa undang-undang Persekutuan berkata, pada Ahad suspek ditahan ketika cuba memasuki Amerika Syarikat (AS) dari Kanada.
Iklan
Iklan
Pada Sabtu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS mengatakan siasatan mengenai perkara itu sedang dijalankan.
Surat mencurigakan itu dikatakan ditujukan kepada Presiden Donald Trump. Surat itu berjaya dikesan pada awal minggu, menerusi dua ujian yang dilakukan mengesahkan terdapat kandungan racun berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.
Jurucakap Polis Diraja Kanada (RCMP) memberitahu CBC pada Sabtu, hasil siasatan awal mendapati bungkusan itu berasal dari Kanada.
Menurut laporan media AS, wanita yang ditahan di sempadan AS-Kanada itu turut memiliki senjata.
- Bernama