PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Selangor telah menawarkan kontrak kepada pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dalam satu hantaran di laman Instagramnya semalam.
Dalam pendedahan tersebut, Tunku Ismail turut memuat naik beberapa keping gambar perbualan antara pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Sumareh yang menyaksikan pemain kelahiran Gambia itu ditawarkan gaji AS17,000.00 (RM70,482) sebulan.
Malah, FAS juga didakwa telah menyediakan salinan kontrak kepada Sumareh dengan menyebut beberapa kelebihan lain yang akan dinikmatinya termasuk telah menetapkan klausa perlepasan RM3 juta sekiranya mana-mana pasukan mahu mendapatkan khidmat pemain itu.
Bagaimanapun, menerusi perbualan WhatsApp dengan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, bekas pemain Pahang itu mahu FAS menaikkan gaji kepada AS20,000 (RM82,171) sebulan untuknya menandatangani kontrak selama dua musim bermula 21 Januari 2021 hingga 20 Januari 2023.
Dalam pendedahan sama, Tunku Ismail turut memuat naik perbualan antara Pengarah Teknikal FAS Micheal Feictenbeiner 'memujuk' Sumareh untuk menyertai pasukan dari Lembah Klang itu.
"Hello Sumareh, saya Micheal TD (Pengarah Teknikal) Selangor. Saya menghubungi awak secara peribadi dan saya gembira sekiranya kita dapat bekerjasama pada musim depan.
"Awak sangat sesuai dengan Selangor dan saya berjanji, kami akan meningkatkan prestasi awak dan menjadikan penyerang terbaik di negara ini.
"Kalau ada apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya bila-bila masa," katanya.
Usaha FAS itu bagaimanapun tidak berhasil dengan tonggak sayap Harimau Malaya itu akhirnya memilih kelab Thailand, Police Tero FC musim depan.
Sebelum ini, Sumareh menggemparkan industri bola sepak negara apabila bertindak meninggalkan pasukan Pahang dan mendakwa pasukan itu tidak membayar gajinya sekali gus mengaktifkan klausa 8.7 seperti terkandung dalam kontraknya.
Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas pemain itu.