Lelaki kemurungan nyaris rentung

Iklan
Syed Uluwi memeriksa rumahnya yang hangus, petang tadi.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang menghidap penyakit kemurungan nyaris rentung apabila rumahnya di Kampung Teluk Pasu, Manir, di sini, hangus terbakar, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.05 minit petang itu hanya diketahui bapa mangsa, Syed Uluwi Tuan Baru, 50-an, selepas menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan insiden berkenaan.

Iklan
Iklan

Syed Uluwi yang juga penjawat awam berkata, semasa kejadian dia berada di tempat kerjanya sebelum bergegas pulang sejurus dimaklumkan rumah yang dihuni anak lelakinya berusia 29 tahun terbakar.

"Anak saya mengalami masalah kemurungan lebih 10 tahun lalu dan tinggal bersendirian di rumah ini kerana kami tak boleh tinggal sekali. Disebabkan itulah, lepas terima panggilan saya terus balik sebab risau keselamatan dia.

Iklan

"Masa sampai api sedang marak dan saya juga nampak dia sudah keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, dia terpaksa membenarkan anak lelakinya itu tinggal bersendirian di rumah itu kerana mereka tak boleh tinggal sebumbung disebabkan anaknya itu agresif dengannya.

Iklan

"Walaupun kami tak tinggal sekali tapi saya selalu menjenguk keadaan dia dan saya perasan sejak kebelakangan ini dia lebih kemurungan berbeza hari sebelum ini,” katanya.

Syed Uluwi berkata, susulan kebakaran itu, rumah yang dibina sejak 25 tahun lalu musnah sama sekali selain harta benda termasuk sebuah motosikal turut hangus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 15 kekuatan anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu namun punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan forensik bomba.