SAN FRANCISCO - Hakim Persekutuan, Laurel Beeler semalam mengeluarkan perintah bertulis bagi menghalang keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mahu melaksanakan larangan memuat turun aplikasi WeChat mulai Ahad lalu.
Menurut portal berita CBS SF semalam, perintah itu dikeluarkan di San Francisco oleh hakim tersebut selepas mendengar kes yang dikemukakan sekumpulan pengguna WeChat dan enam pengguna aplikasi tersebut pada Sabtu lalu.
Dalam perintah bertulis itu, Beeler menyatakan pihak plaintif berjaya menimbulkan beberapa persoalan serius dalam tuntutan mereka bahawa arahan larangan eksekutif tersebut yang dikeluarkan Presiden AS, Donald Trump mengancam hak-hak pengguna berdasarkan Pindaan Pertama perlembagaan negara tersebut yang menjamin kebebasan bersuara.
"Bukti plaintif menggambarkan WeChat hanya efektif bagi tujuan komunikasi untuk kebanyakan orang dalam komuniti, bukannya disebabkan China melarang lain-lain aplikasi tetapi juga kerana penutur China mempunyai kemahiran terbatas dalam bahasa Inggeris sekali gus tidak mempunyai pilihan lain selain daripada WeChat," kata hakim tersebut.
Beeler yang merupakan hakim untuk daerah utara California turut menyatakan dalam perintah bertulis itu,"Seperti yang pihak plaintif perkatakan, terdapat banyak alternatif jelas untuk larangan penuh (WeChat) seperti melarangnya daripada peranti kerajaan seperti dilakukan di Australia atau mengambil langkah untuk menumpukan perhatian terhadap keselamatan data."
Menurut perintah bertulis hakim itu, ketika kerajaan menunjukkan aktiviti-aktiviti China menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan negara, ia juga menyertakan bukti yang sedikit tentang kebimbangan tersebut.
WeChat dianggarkan mempunyai lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk 19 juta pengguna di AS, menurut pihak plaintif.
Aplikasi itu dimiliki oleh syarikat Tencent dari China yang enggan memberikan komen kepada AFP berhubung keputusan itu.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan larangan memuat turun aplikasi WeChat dan Tiktok di AS yang pelaksanaannya dilakukan pada semalam dengan menyatakan alasan keselamatan negara.
Pentadbiran Trump mendakwa aplikasi itu kemungkinan menghantar data peribadi rakyat AS kepada China. - Agensi