KOTA BHARU - Kekecewaan pengendali Kelantan, Yusri Che Lah tidak terungkap sehingga beliau bagaikan hilang kata-kata selepas The Red Warriors (TRW) tumpas 0-2 di tangan Kuching FA pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya, Sarawak malam tadi.
Pengendali berusia 44 tahun itu tidak dapat memberikan komen menyeluruh mengenai persembahan barisan pemainnya pada perlawanan itu pada sidang media sejurus tamat aksi tersebut.
"Saya amat kecewa dengan kekalahan tersebut dan itu sahaja yang boleh saya komen," katanya ringkas.
Tanpa berselindung, Yusri mengakui beliau tidak mampu untuk menerima keputusan itu.
Malah, bekas pemain kebangsaan itu dilihat lebih selesa berdiam diri ketika diajukan mengenai aksi berikutnya yang bakal dihadapi Kelantan.
Kekalahan tersebut menyaksikan pemburuan slot ke Liga Super 2021 buat TRW sudah terkunci rapat dan pasukan itu turut berdepan laluan sukar untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.
Pada perlawanan malam tadi, dua pemain import Kuching FA dari Jepun, Yuta Suzuki dan Yuki Tagawa masing-masing menjaringkan gol kemenangan buat pasukan tuan rumah pada babak kedua.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, TRW kini menghuni tangga kesembilan dalam carta Liga Premier dengan mengumpul lapan mata selepas merekodkan tiga kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Kelantan turut dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ekoran masalah pembayaran gaji sebelum ini.