KOTA KINABALU - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan kesinambungan program tanggungjawab sosial dengan menjayakan Program Bicara Motivasi Bersama Tokoh ‘Majlis Sirih Pulang Ke Gagang’ yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah hari ini.
Pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah diberikan penghormatan untuk menyampaikan motivasi memandangkan beliau merupakan bukti jelas kejayaan anak jati Sabah yang telah menempa nama dalam sejarah negara sebagai rakyat Negeri Sabah pertama menjawat jawatan tertinggi di LHDN.
Sepanjang dilantik menerajui LHDN sejak 12 Disember 2016, beliau juga berjaya memimpin LHDN mencatat sejarah menerusi kutipan cukai langsung tertinggi pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM145.110 bilion dengan memecahkan rekod kutipan pada 2018 yang berjumlah RM137.03 bilion.
Dr Sabin berkata, sebagai sebuah agensi yang diberikan amanah oleh kerajaan, LHDN amat komited dalam memastikan program seperti Program Bicara Motivasi Bersama Tokoh ‘Majlis Sirih Pulang Ke Gagang’ diberikan perhatian dan dijayakan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa serta berketrampilan.
"Ia juga merupakan satu platform bagi LHDNM untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya kepada warga pendidik dan pelajar tentang manfaat pembayaran cukai demi pembangunan ekonomi negara.
"Keutamaan pendidikan cukai seharusnya diberikan kepada para pelajar sekolah dan universiti, bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis Sirih Pulang Ke Gagang yang berlangsung di Dewan Semerbak, SMK Bandaraya Kota Kinabalu itu bersifat ‘motivational engagement’ dan perkongsian pengalaman bersama pelajar dalam usaha untuk meningkatkan semangat dan keyakinan diri mereka bagi mencapai kecemerlangan hidup.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Azizah Baba yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Rohani Ramlee.
Dr Sabin berkata, Malaysia perlu melahirkan masyarakat yang mempunyai daya intelek dan kecerdasan emosi yang tinggi bagi persiapan mereka mengharungi cabaran akan datang yang pastinya lebih kompleks.