SHAH ALAM - Jawatan Presiden bagi Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) wajar melalui proses undian semula demi memastikan kemelut yang berlaku diselesaikan dengan kembali kepada asas perlembagaan.
Bekas Pemangku Presiden MTUC, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau kecewa dengan kemelut yang melanda MTUC namun percaya perkara itu mampu diatasi melalui proses mengikut perlembagaan.
Menurutnya, dalam hal itu campur tangan Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu kerana melibatkan pentadbiran perlembagaan.
"Walaupun sudah tidak terlibat dengan MTUC, saya memantau dari luar. Saya kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. (Persidangan) tidak mengikut proses perlembagaan tetapi tetap diteruskan.
"Apa pun pemilihan telah dibuat, cuma jawatan presiden perlu diundi semula mengikut perlembagaan. Setiausaha Agung dan timbalan MTUC baharu juga telah ada, terserah kepada mereka untuk mengikut perlembagaan.
"Perlembagaan perlu dihormati. Tiada siapa yang boleh melangkauinya dan perkara ini tidak boleh dikompromi mana-mana pihak,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Ditanya mengenai empat kesatuan yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kesahihan persidangan dengan alasan persidangan perwakilan khas itu tidak selari dengan Perlembagaan MTUC, Abdullah berkata mereka berhak berbuat demikian.
"Jika kepimpinan dan mahkamah putuskan (persidangan) perlu dibuat semula, kena laksanakan.
"Saya harap RoS dan mahkamah pantau perkara ini untuk diselesaikan," katanya.
Dalam persidangan perwakilan MTUC bagi sesi 2020-2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC pada Sabtu, kesatuan itu gagal mencapai kata sepakat menentukan kedudukan jawatan presiden apabila undian bagi tiga calon bertanding berakhir dengan keputusan seri.
Perkara itu pertama kali berlaku dalam sejarah 71 tahun penubuhan MTUC.
Terdahulu, empat kesatuan sekerja telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kesahihan penganjuran persidangan itu yang didakwa tidak mematuhi Perlembagaan MTUC.
Mereka mahu RoS campur tangan dan menyelia pemilihan itu untuk memastikan jawatankuasa kerja bertindak mengikut perlembagaan.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh mahkamah dan pengurusan semula kes ditetapkan pada 29 September ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
RoS perlu campur tangan dalam kemelut MTUC
MTUC perlu ada mesyuarat khas
Undian seri, MTUC buntu tentukan calon Presiden