KIEV - UKRAINE. Parlimen Ukraine, hari ini akan memutuskan sama ada untuk melaksanakan undang-undang tentera selepas protes ganas tercetus susulan insiden tiga kapal tentera laut negara itu ditahan Rusia.
Kira-kira 150 penunjuk perasaan yang berang dengan kejadian itu berkumpul di luar Kedutaan Rusia di Kiev dan turut membakar kereta di premis itu sebagai tanda protes.
Iklan
Iklan
"Kami berkumpul kerana membantah tindakan Moscow kerana menembak tentera kami. Kami sangat marah dan sepatutnya telah memutuskan seluruh hubungan diplomatik dengan Ukraine sejak dahulu lagi," kata salah seorang daripada penunjuk perasaan itu.
Difahamkan, Kiev dan Kremlin saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian itu yang turut menyaksikan beberapa kru cedera.
Sementara itu, Presiden Petro Poroshenko ketika menyertai mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara menyifatkan tindakan Rusia sebagai 'gila'.
Menurutnya, penggunaan undang-undang tentera tidak bermakna 'pengisytiharan perang' kerana ia tidak merancang untuk berperang walaupun Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan arahan supaya bersiap sedia untuk bertempur.
Semalam, Perkhidmatan Keselamatan Rusia (FSB) mengesahkan ketiga-tiga kapal, Berdyansk, Nikopol dan Yani Kapu itu telah ditahan di selat berhampiran Moscow dan Crimea selepas ia didakwa tidak mengendahkan amaran berhenti hingga memaksa kapal perang Rusia melepaskan tembakan. - Agensi