MELAKA TENGAH - MIC akan menampikan kira-kira 50 peratus calon muka baharu untuk disenaraikan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, muka-muka baharu yang akan dinamakan terdiri daripada generasi muda yang berpotensi membawa kemenangan dalam Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun menurutnya, pendirian itu belum dimuktamadkan, namun akan melalui beberapa proses jika bekerjasama dengan PN dan hasrat Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran bertepatan dengan keadaan landskap politik yang semakin berubah.
Katanya, perubahan yang dilakukan dalam MIC juga mampu menarik kembali sokongan pengundi India kepada parti sayap kanan Barisan Nasional itu.
"Walaupun kita belum membuat keputusan lagi, namun 50 peratus muka baharu dinyatakan Tan Sri Presiden baru-baru ini dan kita akan berbincang lebih lanjut.
"Dalam masa sama MIC juga akan memerhati perkembangan semasa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk MIC meletakkan calon muda yang betul-betul boleh mewakili MIC dan aspirasi golongan belia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Badan Perhubungan MIC Negeri Ke -74 di Ayer Keroh di sini malam tadi.
Terdahulu, perhimpunan yang disertai sebanyak 130 cawangan dan disertai seramai 450 ahli berjalan lancar mengikut perlembagaan MIC.
Dalam pada itu, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya bersikap rasional dan terus kekal dengan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
"Kita kekal satu kerusi DUN dah cukup lagi pun masyarakat India di negeri ini tidak ramai," katanya.