KUALA LUMPUR - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berhasrat untuk meningkatkan kualiti laluan khas penunggang motosikal agar kemudahan itu lebih selamat dan selesa digunakan.
Ketua Pengarahnya Datuk Rosli Isa berkata jabatan itu bersama beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berbincang untuk memastikan kemudahan itu memberi manfaat kepada golongan itu.
"Kajian sebelum ini mendapati antara punca pengguna motosikal enggan menggunakan laluan khas itu adalah jalan yang berlubang atau pecah, laluan sempit, terlalu gelap pada waktu malam dan ancaman berlaku jenayah disamun terutama di dalam terowong.
Faktor jalan itu ditutup akibat projek berhampiran laluan juga menyebabkan pengguna motosikal memilih untuk menggunakan jalan biasa," katanya ketika menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Rosli berkata perkara itu menjadi fokus jabatannya kerana infrastuktur sudah tersedia dan ia sepatutnya memberi manfaat kepada pengguna motosikal yang berperanan membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.
Mengikut statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2017, sebanyak 6,740 jumlah kemalangan yang melibatkan kematian di jalan raya direkodkan dengan lebih 60 peratus atau 3,991 daripadanya adalah membabitkan pengguna motosikal.
Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang yang turut menjadi tetamu dalam program itu mencadangkan penunggang motosikal hanya dibenarkan menggunakan lorong paling kiri di jalan raya.
"Kita hadkan pengguna motosikal untuk menggunakan lorong paling kiri, jika tiada laluan khas motosikal. Cadangan lain termasuklah mengurangkan had kelajuan motosikal kepada 70 km sejam dan ke bawah, supaya mereka tidak memecut dan bersaing serta mencelah-celah dengan kenderaan lain,” katanya.
Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup berkesan kerana pendidikan dan kesedaran juga perlu diterapkan agar masyarakat lebih menghargai nyawa dan mematuhi peraturan. - Bernama