SHAH ALAM - Kenyataan yang berbeza hanya akan memberi gambaran tidak baik dalam sistem pengurusan kerajaan yang dipegang PH kini.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kenyataan yang dikeluarkan menteri dalam Kabinet sama, tidak wajar bercanggah kerana ia akan melahirkan pelbagai perspektif di kalangan umum.
Menurutnya, perbezaan itu menandakan wujud komunikasi kurang baik dalam kalangan pemimpin PH yang kini menerajui kerajaan.
"Jika alasan masih baharu dalam pentadbiran, ia tidak boleh diterima kerana tempoh sembilan bulan menerajui kerajaan sepatutnya sudah ada sistem pengurusan yang baik.
"Terutama dalam isu-isu besar seperti status projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan berbeza pemimpin PH mengenai status rasmi pembatalan projek ECRL tersebut.
Tambahnya, sepatutnya ada satu jurucakap sahaja yang mengeluarkan kenyataan mengenai status isu-isu besar seperti itu bagi mengelak percanggahan kenyataan.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain berkata, perbezaan kenyataan mengenai status projek ECRL itu menunjukkan tiadanya koordinasi yang baik antara menteri.
"Isu besar seperti itu (ECRL) perlu koordinasi atau penyelarasan yang sama agar tidak mewujudkan kekeliruan dikalangan masyarakat.
"Justeru bagi isu ini, kita tunggu kenyataan satu pihak sahaja iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet akan datang untuk mengetahui status sebenar projek tersebut,” katanya.