PADANG BESAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bersama hampir 300 peserta melakukan cabaran Kayuhan Hari Malaysia 2020 sejauh 17 kilometer anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini pada Ahad lalu.
Keberangkatan baginda yang juga Canselor UniMAP mencemar duli menyertai kayuhan itu menyemarakkan lagi program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang mengangkat tema ‘Malaysia Prihatin’.
Turut berkenan berangkat hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.
Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, melalui tema berkenaan, program kayuhan tersebut bukan sekadar kayuhan semata-mata tetapi ia turut disertakan dengan program tanggungjawab sosial universiti (USR).
"UniMAP berbesar hati memberi sumbangan panel solar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Padang Besar yang bakal dimanfaatkan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
"Selain sumbangan panel solar, UniMAP melalui Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) juga menganjurkan Fun Walk, pertandingan bola jaring persahabatan bersama guru sekolah itu bagi mengeratkan lagi hubungan di antara UniMAP dan komuniti setempat serta program USR Klinik Olahraga bersama Nazmizan Muhammad (bekas raja pecut Asia Tenggara),” katanya pada majlis penutup di Kampus UniCITI Alam di sini kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Raja Datuk Azwane Raja Ariff; Penasihat Undang-undang Negeri Perlis, Radhi Abas dan Pengerusi PISKANITA UniMAP, Fatimah Danial.
R Badlishah berkata, sesuai dengan tema Malaysia Prihatin, UniMAP sentiasa komited dan prihatin dalam membantu kebajikan pelajar menerusi skim bantuan zakat seperti penempatan kolej kediaman percuma, zakat, tabung amanah khas, bank makanan dan sebagainya.
"Pelajar yang memerlukan bantuan kewangan juga berpeluang melakukan kerja sambilan dan dibayar gaji serta berpeluang menjadi usahawan menerusi platform hire me UniMAP.
"Pada tahun 2020, UniMAP memperuntukkan sebanyak RM500,000 wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan dengan sasaran lebih 1,200 pelajar,” katanya.
Selain program kayuhan, Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCITI Alam juga berpeluang menyerlahkan bakat melukis mural sebagai simbolik tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.