KUALA NERUS - Sebuah perigi lama yang dipercayai berusia ratusan tahun ditemui berhampiran kawasan pantai di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di sini Jumaat lalu.
Perigi lama itu ditemui penduduk kampung semasa membersihkan kawasan tersebut kerana dipenuhi belukar dan dijadikan tempat membuang sampah sebelum ini.
Bagaimanapun, ia menjadi gempar dan mendapat perhatian ramai setelah terdapat satu ukiran dalam tulisan jawi yang tertera tulisan ‘Bulan 3’ dan 1345 dipercayai tarikh perigi itu mula dibina.
Seorang nelayan, Dillah Ambak, 60, berkata, perigi itu memang sudah lama wujud, namun tidak ramai penduduk yang mengetahuinya kerana ia dipenuhi belukar dan menjadi tempat orang kampung membuang sampah.
"Sebelum ni tiada orang yang nak bersihkan tempat ini kerana orang tidak berani nak turun kerana ada yang kata tempat ini keras. Kebetulannya, saya pam air di kawasan rumah tapi air masin, jadi saya ambil keputusan untuk pam perigi ini sahaja.
"Perigi ini memang sudah lama, memang sejak zaman ayah saya dahulu sudah ada. Apabila ditanya, dia katakan kawasan ini dahulunya menjadi tempat persinggahan pedagang.
"Orang-orang lama juga ada bercerita yang telaga itu antara tempat persinggahan orang dahulu yang datang dari jauh untuk berhenti rehat dan singgah untuk solat dan mandi di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Timbalan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Yahaya Ibrahim yang turut ditemui di perigi lama itu berkata, kajian mendalam mengenai perigi itu perlu dibuat bagi memastikan kesahihan usia dan sejarahnya.
Menurutnya, jika perigi lama itu adalah khazanah sejarah, ia patut dijadikan khazanah warisan kerana mungkin selepas ini ia menjadi tarikan baharu di kawasan itu.
"Orang yang datang berkunjung pastinya nak tahu apa namanya, kisah sebenarnya dan tarikh yang ada pada perigi itu masih menjadi tanda tanya, sama ada ia tarikh masihi atau hijrah.
"Jika ia merujuk kepada tarikh hijrah, usianya hampir 100 tahun tapi jika tarikh masihi, ia sudah berusia kira-kira 675 tahun. Ini satu penemuan yang luar biasa dalam konteks sejarah dan perlu dipelihara pihak yang bertanggungjawab,” katanya yang juga penduduk tempatan.
Katanya, buat masa ini, penduduk kampung sedang giat membersihkan kawasan tersebut bagi memelihara warisan itu, selain ada yang bercadang untuk memulihara perigi itu supaya dapat digunakan selepas melakukan aktiviti di laut.
Sementara itu, kakitangan Lembaga Muzium Terengganu akan dihantar ke kawasan itu untuk membuat kajian arkeologi lebih mendalam bagi memastikan usia sebenar perigi tersebut dan sejarah tentangnya.
Ketua Bahagian Sejarahnya, Azuan Harun berkata, pihaknya akan membuat kajian yang lebih mendalam tentang penemuan ini bagi mengesahkan apa yang didakwa segelintir pihak supaya menepati sejarahnya.
"Sejarah ini sebenarnya satu perkara yang sangat subjektif, selagi tiada penemuan atau fakta yang terbaru, sejarah tidak akan berubah. Tapi kalau ada penemuan baharu, ia sedikit sebanyak kita kena kaji, perhalusi dan akhirnya akan sahkan secara bukti yang nyata dan sokongan kerana ia akan mengubah senario sejarah yang ada.
"Ia memerlukan masa yang panjang dan kerjasama pelbagai pihak termasuk kepakaran universiti dan pengkaji sejarah serta kesahihan orang tempatan.
"Melihat daripada segi fakta payah nak jangka usianya tapi daripada segi struktur binaan, kemungkinan ada yang ditambah tapi binaan asas secara tak langsung macam binaan agak unik seperti perigi yang kita temui sebelum ini, menggunakan batu pulau atau batu sungai,” katanya.