PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan dakwaan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap badan induk itu berhubung kes pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh sebagai tidak berasas.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dakwaan PBNP yang mengatakan FAM tidak berusaha mencari penyelesaian kemelut tersebut merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Ini kerana sejak permulaan kes sehingga hari ini, FAM dengan jelas mengikut segala proses, ketetapan dan peraturan serta turut membantu PBNP dalam memberikan keterangan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"FAM bukannya tidak menunjukkan minat untuk mengendalikan aduan PBNP itu, namun seperti yang dinyatakan, FAM perlu menghormati proses perundangan FIFA dan akan mengadili kes ini setelah ketetapan dibuat oleh FIFA terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PBNP dakwa FAM pandang remeh isu Sumareh
Pada masa sama, Stuart menegaskan, FAM juga sentiasa mengambil serius dan membuat tindakan segera terhadap segala perkara yang berkaitan ahli gabungannya.
"Bagaimanapun, tugas FAM sebagai badan induk bola sepak negara adalah untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak sebelum kes didengar dan keputusan dikeluarkan.
"PBNP tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain, sebaliknya perlu mengendalikan diri dengan lebih bertanggungjawab untuk mengelak kes Klausa 8.7 seperti Sumareh ini berlaku pada masa depan," tegasnya.
Terdahulu, PBNP mendakwa FAM tidak menunjukkan minat untuk mencari penyelesaian kemelut yang sedang berlaku membabitkan badan induk bola sepak Pahang itu dan Sumareh,
Menurut Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf, tindakan FAM yang hanya memberi alasan menunggu tindakan daripada FIFA terlebih dahulu mengenai kes tersebut tidak boleh diterima dan tidak berasas.