JASIN - Operasi mencari dan menyelamat seorang ibu tunggal yang hilang di Kampung Jus Selandar di sini, masih diteruskan sejak pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, operasi yang bermula jam 8.30 pagi itu dibantu pasukan bomba dan penyelamat selepas laporan polis kehilangan berkenaan dibuat oleh adik mangsa di Balai Polis Selandar.
Menurutnya, kawasan pencarian pada hari ketiga meliputi kawasan berhampiran rumah, berdekatan masjid Kampung Jus, selain kumpulan menyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal alami masalah kemurungan hilang
Sabtu lalu, Rosiah Mansor, 52, didapati hilang selepas kali terakhir dilihat oleh ahli keluarga berada di halaman rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus, kira-kira jam 7 pagi.
Lebih membimbangkan apabila Rosiah dikatakan menghidap penyakit sawan dan sering mengalami kemurungan.
Menurut kakaknya, Sariah Mansor, 60, kehilangan adiknya disedari anak lelaki mangsa, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32, sebaik menyedari pintu rumah dalam keadaan terbuka dan wanita terbabit tiada di rumah
Katanya, kali terakhir mangsa dilihat dengan memakai baju T berwarna hijau dengan anak tudung, berkain batik dan berkasut bersarung.
"Sewaktu anak lelakinya balik kerja kira-kira jam 10 malam semalam (Sabtu), dia ada mengetuk pintu rumah tetapi tiada orang buka.
"Akhirnya selepas selesai berborak dengan rakan di hadapan rumah, dia membuat keputusan untuk tidur di rumah neneknya di sebelah rumah.
"Sebelah paginya selepas mandi, Engku Airil mahu membuka semula pintu, tetapi menyedari pintu rumah sudah terbuka dan ibunya tiada,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini, semalam.
Ujar Sariah lagi, dia dan keluarga begitu bimbang berikutan adiknya itu sudah tidak makan ubat selepas 24 jam hilang.
"Sepatutnya perlu ambil ubat tiga kali sehari kerana menghidap sawan sejak berumur 10 tahun, selain mengalami kemurungan selepas bercerai kira-kira 15 tahun lalu.
"Kami sekeluarga sudah puas mencarinya di sekitar kawasan sehari suntuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Selandar,” katanya.