JENGKA - Kenaikan harga minyak kelapa sawit (CPO) yang melonjak di pasaran sudah pasti menjadi khabar gembira buat peneroka khususnya di Wilayah Jengka, Pahang di sini.
Namun di sebalik kenaikan harga CPO yang melebihi RM3,000 satu tan pada Jumaat lalu, ada realiti yang perlu dihadapi peneroka.
Bagi Ahmad Zubir Abdul Rahim, 62, dari Jengka 7 menyifatkan di sebalik khabar positif itu, hasil buah kelapa sawit sedang menurun kerana musim melawas yang dihadapi peneroka sepertinya.
"Memang harga tengah naik tapi tiada gunanya buah tengah melawas jadi kesannya tidak berubah.
"Masa hasil buah banyak harganya tidak naik, jadi dengan potongan hutang yang dihadapi peneroka seperti saya tetap tertekan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 60, berharap agar kenaikan harga sawit tersebut dapat dikekalkan dan tidak turun merudum seperti terdahulu.
"Kenaikan yang agak tinggi itu memang ditunggu-tunggu oleh semua peneroka di seluruh negara.
"Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas usaha memasarkan semula kepada negara luar seperti India, China dan lain negara yang membeli semula minyak sawit dari Malaysia.
"Kita juga berharap harga ini bukanlah kerana adanya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Idris Shah Musa, 69, dari Felda Ulu Jempol menyifatkan perubahan kerajaan juga memberikan impak positif berbanding sebelum ini.
Menurutnya, ia satu khabar gembira buat peneroka sepertinya yang mengharapkan kenaikan harga komoditi seperti kelapa sawit.
Pada Ogos lalu, media melaporkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) optimis bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) akan mencecah antara RM2,500 dan RM2,600 satu tan metrik menjelang akhir tahun ini.
Semalam dilaporkan harga minyak sawit mentah semakin naik sudah melepasi RM3,000 setan pada 18 September lalu berbanding hanya sekitar RM2,400 pada awal Mac lepas.