Dayangku Ayesha lebih agresif berkempen saat akhir

Iklan
Dayangku Ayesha mengguna sepenuhnya tenaga mudanya untuk memastikan beliau diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan itu. - Foto FB Dayangku Ayesha

KOTA KINABALU - Kurang tiga hari lagi tempoh untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, calon Parti Cinta Sabah (PCS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Dayangku Ayesha Humaira Ak Othman Shah mengguna sepenuhnya tenaga mudanya untuk memastikan beliau diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Dayangku Ayesha, 24, menganggap tempoh berkempen yang semakin singkat adalah peluang untuknya bergerak dengan agresif mendekati rakyat dan seterusnya menyelami masalah mereka.

Iklan
Iklan

"Saya sekarang bertambah bersemangat dan langsung tidak berasa penat dengan aktiviti kempen kerana inilah masanya untuk mendekati dan mengetahui masalah rakyat yang ada di DUN Karambunai ini.

"Saya akan gunakan tenaga muda saya untuk membantu rakyat. Bagi saya perjalanan kempen ini masih jauh walaupun tempohnya terlalu singkat," katanya ketika ditemui ketika meninjau perjalanan proses pengundian awal di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar semalam.

Iklan

Beliau berkata, dengan memiliki pendidikan dalam jurusan undang-undang dari luar negara, beliau yakin akan dapat membantu dan membela masyarakat di kawasan DUN Karambunai.

"Banyak masalah yang dihadapi penduduk di kawasan ini termasuk masalah bekalan air, kurangnya peluang pekerjaan untuk belia dan kurangnya pembangunan sektor pelancongan walaupun Karambunai memiliki pelbagai tempat yang boleh dijadikan tumpuan pelancong.

Iklan

"Saya harap jika dapat mewakili masyarakat DUN Karambunai, saya akan bersuara untuk mewakili mereka demi memajukan dan membangunkan kawasan ini," katanya.

Terdahulu, Dayangku Ayesha berkata, beliau tidak menyesal untuk terjun dalam bidang politik di usia yang terlalu muda.

"Saya memang minat dalam bidang politik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Ini menyebabkan saya mula menilai apa peranan saya dalam masyarakat dan apa yang saya boleh bantu untuk mereka.

"Selepas tamat pengajian di luar negara dari University of Exeter United Kingdom, saya mula terbabit dalam politik dan mula melihat masalah yang dihadapi mereka.

"Jadi dengan usia saya ini, bukan penghalang untuk bekerja untuk rakyat malah tidak takut untuk bersaing dengan calon lain yang lebih berpengalaman," katanya.