PUTATAN - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga mempertahankan negeri ini daripada sebarang ancaman mana-mana pihak termasuk
dakwaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan membuat kekacauan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Iklan
Iklan
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan strategi mengekang kemasukan PATI ke negara ini.
Menurutnya, pasukannya juga sentiasa bersiap sedia dengan melakukan pelbagai operasi bagi menghalang kemasukan PATI dan mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diambil bagi mengekang kehadiran PATI. Kita berbincang dengan PDRM strategi yang dilaksanakan.
"Kita sudah bersedia, jadi anggota kita tidak benarkan bercuti semata-mata untuk bersiap sedia dengan sebarang ancaman," katanya ketika ditemui di Kem Lok Kawi semalam.
Beliau berkata, setakat ini operasi yang dilaksanakan berkesan dan akan dipertingkatkan dari masa ke masa dan pada masa sama pelbagai operasi dilakukan secara serentak sebagai sebahagian daripada kerangka Op Benteng yang dilaksanakan kerajaan.