Bekalan ubat kategori B perlu ada slip preskripsi

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Amrahi Buang

SHAH ALAM - Pengguna tidak boleh memaksa ahli farmasi untuk membekalkan ubat-ubatan yang tersenarai dalam Kategori B mengikut Akta Racun 1952 tanpa mempunyai slip preskripsi atau surat ubat yang lengkap dan sah.

Presiden, Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, sekiranya ada keperluan mendesak, ahli farmasi hanya boleh memberikan bekalan untuk sehari sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pesakit hendaklah berjumpa doktor selepas itu untuk mendapatkan slip preskripsi atau surat ubat sebelum mendapatkan bekalan ubat daripada farmasi.

"Selain itu, pesakit mestilah memastikan slip preskripsi atau surat ubat adalah lengkap dan ditandatangani oleh doktor serta mempunyai nama dan nombor Malaysian Medical Council (MMC).

Iklan

"Jika ini tidak dilakukan, ahli farmasi tidak boleh membekalkan ubat tersebut. Ini perlu difahami kerana ia dijelaskan dalam Akta Racun 1952. Slip preskripsi atau surat ubat ini adalah satu dokumen yang legal dan boleh digunakan dalam kes mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, ubat yang memerlukan preskripsi didakwa bukan saja boleh dibeli dengan mudah di farmasi, malah melalui platform beli-belah dalam talian atau laman web.

Iklan

Perkara itu menimbulkan persoalan bagaimana ubat yang disenaraikan dalam Kumpulan B mengikut Akta Racun 1952 itu boleh dijual sewenang-wenangnya tanpa preskripsi doktor sekali gus turut mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan kesihatan.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan slip preskripsi atau surat ubat daripada doktor dan mereka juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan ubat tersebut sama ada dari klinik atau di farmasi.

Katanya, kebiasaannya harga ubat di farmasi adalah lebih murah berbanding di klinik kerana selain membekalkan ubat, ahli farmasi di klinik juga akan memberikan arahan berhubung pengambilan ubat serta menjalankan kaunseling ubat yang komprehensif agar pesakit dapat manfaat daripada pematuhan kepada rejim ubat yang dipreskribkan oleh doktor.

"Slip preskripsi atau surat ubat untuk penyakit kronik mempunyai jangka masa yang terhad dan paling maksimum adalah satu tahun.

"Justeru, pesakit hendaklah kembali berjumpa dengan doktor selepas tamat tempoh slip preskripsi bagi memastikan pemantauan ke atas rawatan yang diberikan sebelum preskripsi baharu dikeluarkan oleh doktor untuk satu jangka masa yang ditetapkan,” katanya.