TUMPAT - Biskut, mi segera, laici dalam tin, yang tamat tarikh luput tetapi ada peniaga sanggup menjualnya di sebuah gudang di Wakaf Bharu.
Tindakan peniaga itu mengundang padah apabila Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat menyerbu premis tersebut.
Dalam operasi jam 10 pagi semalam, pemeriksaan di premis tersebut mendapati puluhan produk makanan dan minuman yang tamat tarikh luput diletakkan di rak.
Ketika disoal penguatkuasa, alasan yang diberikan peniaga itu, barangan tersebut termasuk cili giling, minuman berkabonat dikumpulkan untuk dikembalikan kepada pembekal.
Pegawai Kesihatan Tumpat, Dr Faizan Ghazali berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan dalam operasi penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 sempena Tahun Baharu Cina di Wakaf Bharu dan Tumpat.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan 30 pegawai dan anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat di 15 premis, pihaknya merampas 862 makanan dengan nilai rampasan berjumlah RM6,232.05.
"Ia didapati telah melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.
"Antara kesalahan menjual makanan import tidak mempunyai label dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, menjual makanan tamat tarikh luput," katanya.
Menurutnya, semua barang yang dirampas di bawa ke Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat dan peniaga diberi tempoh dua minggu untuk menuntut kembali.
"Dalam tempoh itu peniaga perlu menyediakan bukti pelabelan yang betul sebelum menuntut barang yang dirampas.
"Sekiranya tidak dituntut, barang ini dilupus," katanya.