SYDNEY - Anggota penyelamat yang cuba menyelamatkan sejumlah ikan paus di sebuah pelabuhan pedalaman menyatakan mereka menemui 200 lagi haiwan itu menjadikan sebanyak 470 ekor hidupan laut tersebut yang terkandas.
Ikan paus spesies pilot itu terkandas di dua lokasi berasingan di Pelabuhan Macquarie di kawasan yang dikelilingi pergunungan dan kurang penduduk di pantai barat Tasmania, kata jurucakap Jabatan Alam Sekitar kepada AFP.
"Adalah disahkan bahawa kira-kira 200 ikan paus yang tidak diketahui (terkandas) kini ditemui terperangkap," katanya di lokasi kejadian yang terletak tujuh hingga 10 kilometer dari pelabuhan tersebut.
Pengurus Taman Tasmania dan Perkhidmatan Hidupan Liar, Nic Deka berkata, kumpulan kedua ikan tersebut yang ditemui pada awal pagi hari ini menerusi satu tinjauan udara kebanyakannya dipercayai telah mati.
Sebelum ini, kira-kira 270 ekor ikan paus ditemui yang kebanyakannya terkandas di beting pasir pada hari Isnin lalu menyebabkan usaha untuk menyelamatkan hidupan mamalia gergasi itu dilakukan.
Kawasan beting pasir itu hanya boleh didekati dengan menggunakan bot.
Penemuan 200 lagi ikan tersebut menjadikan kejadian hidupan laut itu yang pernah terkandas sebagai yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah Tasmania.
Punca ikan paus itu terkandas masih tidak diketahui tetapi para saintis menyatakan ia kemungkinan disebabkan ia tersasar daripada laluan selepas mencari makanan berhampiran dengan daratan atau mengikut seekor atau dua ekor haiwan tersebut yang sesat. - AFP