SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan sokongan terhadap langkah yang dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dalam membentuk kerajaan baharu.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman yang di buat oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berhubung telah memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen hari ini untuk membentuk kerajaan baharu.
"Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti Amanah mengesahkan bahawa semua 11 Ahli Parlimen Amanah menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai pengerusi Pakatan Harapan dan memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar mendakwa bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu dan turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.
ARTIKEL BERKAITAN Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu
"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan meyakinkan, jauh daripada majoriti kecil. Bukan empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti.
"Sokongan itu juga terdiri daripada pelbagai parti,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.
Anwar turut memberi jaminan bahawa beliau mempunyai 'dokumen tetap yang tidak boleh diragui' bagi membuktikan beliau kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.