Kemenangan PRN Sabah sukar diramal

Iklan
Armizan dan Mujibu

SHAH ALAM - Trend pemilihan rakyat Sabah yang tidak tetap selain mempunyai banyak pilihan parti yang bertanding menyebabkan kemenangan memihak kepada parti mana sukar diramal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis menyifatkan saingan dalam kalangan parti yang bertanding amat sengit berdasarkan beberapa faktor terutamanya melibatkan saingan seimbang daripada parti-parti utama yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan juga Warisan Plus.

Iklan
Iklan

"Pada masa sama saya juga melihat ada potensi pecahan undi yang ketara bakal berlaku terutamanya melibatkan parti-parti tempatan.

"Jadi amat sukar untuk kita tentukan siapakah yang bakal menang secara tuntas di sini selain pemilih mempunyai pelbagai pilihan untuk memilih parti yang akan mewakili mereka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-195 bertajuk #Pesta Demokrasi: Siapa Pilihan Sabah? yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.

Turut diundang selaku penalis termasuklah calon Parti Cinta Sabah (PCS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Dayangku Ayesha Humairah AK Othman Shah, Naib Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali dan Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) di DUN Karanaan, Awasi Tan Sri Ganie, manakala Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Iklan

Mengulas lanjut, Mujibu yang turut berada di Sabah berkata, berdasarkan dapatan di lapangan ada dalam kalangan mereka mengutarakan teori yang memilih untuk melihat secara makro sama ada melihat potensi parti atau calon yang bertanding itu sendiri.

Katanya, personaliti dan jasa-jasa politik khidmat calon itu sendiri turut mempengaruhi pilihan pengundi.

"Pada masa sama juga ada yang mengutarakan teori bersifat lebih besar dan umum dengan melihat parti manakah yang mampu menawarkan ketua menteri yang lebih berwibawa.

"Setakat ini faktor ketua menteri dilihat sangat penting kerana ia akan menentukan hala tuju negeri dalam konteks Sabah ketika ini yang berdepan dengan masalah ekonomi yang kritikal disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) dan sengaunya.

"Malah ada yang melihat untuk mengekalkan status quo sebagai pilihan yang ada dan pada masa yang sama turut berpendapat kesepaduan di antara kerajaan Persekutuan dan negeri itu sangat penting dalam menentukan parti mana yang akan dipilih,” katanya,

Begitupun beliau berkata, PRN Sabah bakal menyaksikan satu pertandingan sengit di mana apa juga ruang dan peluang seharusnya digunakan oleh setiap calon yang bertanding dalam tempoh yang berbaki tiga hari lagi.

"Jika usaha ini gagal digembleng dengan baik mungkin ia tidak akan menghasilkan pulangan yang lumayan dan apa-apa juga perkara kecil tidak boleh dipandang ringan apatah lagi dalam tempoh getir ini.

"Apa juga kesilapan dan ancaman tidak boleh dilakukan kerana takut ia akan mengundang ‘peluru tabu’ kepada pihak lawan untuk menyerang parti-parti yang melakukan kesilapan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali turut mengakui calon ketua menteri menjadi faktor kepada pertimbangan rakyat untuk memilih parti mana diberikan sokongan dalam membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah.

Katanya, walau bagaimanapun ia hanyalah salah satu daripada pelbagai faktor yang akan membentuk pertimbangan dan keputusan rakyat terhadap parti-parti yang bertanding.

"Kalau di pihak PN dan juga parti-parti gabungan seperti BN dan juga Parti Bersatu Sabah (PBS) sememangnya diketahui masih belum dinamakan secara rasmi calon sebagai ketua menteri.

"Begitupun di peringkat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mencadangkan Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan PN menang, namun ia tertakluk kepada perbincangan dan muafakat berhubung keputusan itu,” katanya.

Armizan bagaimanapun berkata, apa yang lebih penting ketika ini adalah semua jentera perlu bergerak dengan satu misi iaitu untuk menukar kerajaan negeri sedia ada melalui satu gabungan parti-parti melibatkan PN, BN dan juga PBS.