Anwar ulangi sandiwara bulan September, kata Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi Dusuki (Kenyataan yang dimuat naik Asyraf Wajdi di laman Facebook beliau hari ini.)

SHAH ALAM - Pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa sudah cukup majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan adalah sandiwara bulan September, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Asyraf Wajdi, perkara sama pernah berlaku pada 16 September 2008 dan kali ini Anwar sekali lagi mengulangi sandiwaranya dengan membuat sidang akhbar untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

"Antara persoalan yang bermain pada pemikiran adalah kenapa Anwar seperti terdesak membuat pengumuman tatkala Yang di-Pertuan Agong sedang gering dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara?

"Kedua, kenapa Anwar semacam terdesak membuat pengumuman ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya tinggal dua hari berbaki sebelum hari pengundian Sabtu ini?

Iklan

"Ketiga, kenapa Anwar semacam terdesak membuat pengumuman setelah rakan sekutunya yang paling kuat DAP mengisytiharkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal lebih layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebook beliau hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Iklan

Asyraf Wajdi turut melontarkan persoalan mengapa hanya wakil PKR sahaja yang hadir pada sidang akhbar berkenaan dan dimanakah wakil-wakil komponen PH lain seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata, ternyata semua itu hanyalah gimik dan sandiwara politik Anwar sempena bulan September yang begitu sinonim dengan sketsa politik beliau.

"Kebetulan juga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada bulan September 1998.

"Apakah ini semudah satu sandiwara? Jadi kita tunggu episod seterusnya. Kalau susah-susah sangat, serahkan kembali mandat kepada rakyat agar dapat membuat keputusan yang muktamad,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, dakwaan Anwar akan membentuk kerajaan baharu disifatkan sebagai 'sindrom bulan September'.

"September Syndrome... Previously 16, now 26 (September)," katanya menerusi satu ciapan ringkas di Twitter beliau hari ini.

Pada 16 September 2008, Anwar pernah mendakwa mendapat sokongan 30 ahli Parlimen dan akan menuju ke Putrajaya, bagaimanapun tiada apa yang berlaku.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, kuasa kerajaan masih terletak di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar pada sidang akhbar tergempar tengah hari tadi mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.