KUALA TERENGGANU - Menjaga tangan, mulut, nafkah zahir dan batin perlu menjadi asas penting dalam hidup berumah tangga supaya mahligai yang dibina terus berkekalan.
Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri (JHEAT), Mohd Azam Awi berkata demikian berhubung satu kenyataan sebelum ini yang mengaitkan antara punca penceraian di Terengganu seperti lupa beli ikan selayang dan tidak bawa isteri jalan-jalan.
Menurut Mohd Azam, sepatutnya itu adalah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh pasangan suami isteri dalam menjaga hubungan mereka dan perasaan masing-masing.
"Kalau pandai jaga tangan, mulut dan cukup nafkah zahir dan batin, perkara remeh-temeh tidak akan dijadikan isu punca mereka bercerai.
[ARTIKEL BERKAITAN: Lupa beli ikan, tidak bawa berjalan jadi punca cerai]
"Kadang-kadang orang kita ni (Terengganu) mulut tu kalau masa bergaduh tak jaga, cakap main lepas je ikut suka, begitu juga tangan, jangan sampai naik tangan (pukul) pada pasangan kerana ia boleh menyebabkan hal kecil dijadikan asbab untuk bercerai.
"Kalau bergaduh tu jangan tunggu, keluar rumah dulu lepas semua reda baru balik semula sebab kita bimbang akan keluar perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya atau jadi kes pukul-memukul," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam masa sama, Azam berkata, pihaknya juga sedang dalam proses menambahbaik modul dalam kursus perkahwinan sebagai usaha mendidik bakal pengantin bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum mendirikan rumahtangga.
Katanya, beberapa modul sedang diproses dan menunggu kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kita cadang nak guna modul baru ini bermula tahun depan selepas mendapat kelulusan Jakim dan pihak-pihak berwajib," katanya.
Diharap dengan modul baharu itu, kes perceraian khususnya hal remeh-temeh tidak dijadikan alasan penceraian.