Mungkinkah Semenyih juga bakal milik BN?

Iklan

SHAH ALAM - Momentum kemenangan BN di Cameron Highlands mungkin dapat diteruskan parti itu dalam PRK Semenyih.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Dun Semenyih sebelum ini merupakan kubu kuat Umno sejak tiga PRU sebelum ia tumbang kepada PH dalam PRU14.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kekalahan Umno di Semenyih dalam PRU lalu mempunyai kaitan dengan isu nasional seperti dakwaan pembaziran dan penyelewengan oleh kerajaan, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta isu kos sara hidup.

"Jadi pada hari ini, pengundi Semenyih mungkin telah melalui dan menilai senario semasa kehidupan mereka. Jika sebelum PRU, PH menjanjikan untuk memansuhkan GST bagi mengurangkan tekanan berkaitan kos sara tetapi kini apabila ia dimansuhkan, isu ini belum dapat ditangani.

Iklan

"Ini antara perkara-perkara yang mempengaruhi pengundi selain daripada isu lain yang dekat dengan hati rakyat sepanjang PH memerintah negara. Jadi, ada kemungkinan rakyat akan membuat perubahan dalam PRK kali ini sebagai tanda protes atau peringatan buat kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai majoriti undi besar yang dimiliki PH dalam PRU lalu, beliau berkata, wujud kemungkinan ia akan berubah.

Iklan

"Memandangkan kerusi ini adalah kerusi yang ditandingi Melayu, saya dapat rasakan bakal berlaku pertembungan sengit. Saya menjangkakan, kemenangan dan kekalahan tipis dalam PRK ini.

"Jangan lupa, undi Pas dalam PRU14 agak tinggi dan sudah pasti sebahagian besar akan pergi kepada BN. Selain itu, undi Cina dan India bukan semuanya akan dapat kepada PH," katanya.

Memandangkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan, isu-isu hangat yang berlaku di Cameron Highlands akan menjadi antara bahan kempen di Dun itu.

"Pelanggaran undang-undang, peraturan dan etika kempen seperti penggunaan aset kerajaan dan isu sensitif bangsa serta agama yang disentuh akan terus berlegar dalam kempen Dun Semenyih.

"Ini juga merupakan faktor penyumbang kepada penentu undi di Semenyih," katanya.

Menyentuh tentang MIC dan MCA yang kembali mengukuhkan BN, Ahmad Atory menyatakan kemenangan BN di Cameron menjadi suntikan semangat untuk parti komponen itu bekerja keras di Semenyih.

"Kemenangan ini pastinya mengembalikan keyakinan mereka untuk bersama dalam komponen BN dan memastikan kerjasama semua parti terus utuh," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, kerjasama BN dengan Pas adalah untuk menarik sebanyak mungkin undi daripada orang Melayu.

"Berdasarkan data mengenai komposisi pengundi di Semenyih, majoiritinya adalah Melayu iaitu kira-kira 68 peratus. Ia lebih tinggi berbanding Sungai Kandis dan Seri setia yang masing-masing adalah 53 peratus dan 54 peratus.

"Ini bermakna, ia ujian penting kepada Umno dan Pas di Semenyih untuk melihat kekuatan parti berdasarkan kepada sokongan orang Melayu sekaligus meneruskan momentum kemenangan," katanya.

Jelasnya, sekiranya calon Umno dengan sokongan Pas dapat menarik jumlah undi Melayu sekitar 70 peratus, mereka ada peluang untuk menang.

"PRK Cameron Highlands dan Semenyih berbeza kerana kerajaan negerinya tidak sama. Kerusi Dun Semenyih berada di bawah kerajaan PH dan ia dilihat antara faktor yang mampu mengimbangi usaha BN untuk mendapatkan 70 undi Melayu.

"Kalau Umno berjaya menang, ia merupakan satu platform yang menunjukkan keberkesanan kerjasama BN dan Pas. Namun begitu, perlu diperhatikan bahawa PRK ini mempertemukan dua calon Melayu," katanya.

Tambahnya, PH tidak perlu menggunakan masa berkempen untuk menyerang pembangkang kerana ia tidak memberi nilai tambah dari sudut sokongan.

"Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, jentera PH menjawab segala perkara yang dibangkitkan.

"Diharapkan dalam PRK kali ini, PH selaku kerajaan tampil fokus kepada mekanisme tangani isu kos sara hidup dan bantu permudahkan urusan rakyat. Sudah sampai masanya untuk berhenti membongkar isu berkaitan pembangkang," katanya.