SEOUL - Pakar kesihatan hari ini memberi amaran potensi 'twindemic' musim sejuk mungkin melanda jika tidak ditangani dengan betul, malah boleh memburukkan lagi situasi koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Yonhap.
Pertarungan menentang virus di seluruh negara dijangka berhadapan kesukaran ketika musim sejuk semakin menghampiri kerana virus membabitkan sistem pernafasan termasuk influenza dan Covid-19.
Kedua-dua penyakit itu mempunyai simptom yang hampir sama termasuk demam dan sakit tekak menyebabkan ia sukar dikenal pasti melainkan dengan menjalani ujian.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA) sebelumnya mengesahkan kes bertindih berkaitan kedua-dua penyakit yang membabitkan sistem pernafasan itu.
"Disebabkan sukar untuk membezakan antara dua penyakit tersebut, orang ramai perlu menjalani ujian jika mereka mempunyai gejala,” kata pakar penyakit berjangkit di Hospital Nasional Seoul, Park Wan-Beom.
Bermula awal bulan ini, negara itu menyediakan suntikan selesema percuma, kebanyakannya untuk kanak-kanak yang lebih kecil sebagai satu usaha bagi meningkatkan bilangan rakyat yang mendapat imunisasi.
Kerajaan akan memberikan suntikan selesema percuma kepada sekitar 19 juta orang atau 37 peratus daripada jumlah penduduk negara itu termasuk untuk kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga 18 tahun, wanita hamil dan yang berumur 62 tahun ke atas.
Kebimbangan semakin meningkat apabila KDCA pada Selasa mengumumkan pihaknya akan menghentikan sementara program suntikan selesema percuma, berikutan terdapat sejumlah botol vaksin tidak dikendalikan dengan betul.
KDCA berkata, jika vaksin yang terbabit lulus ujian kualiti, ia akan diberikan kepada yang berusia 13-18 tahun, diikuti demografi lebih tua. Ujian dijalankan Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan itu mengambil masa kira-kira dua minggu.
Bagaimanapun, masih ada yang enggan mendapatkan vaksin kerana kebimbangan mengenai kemungkinan dijangkiti virus Covid-19 ketika mengunjungi klinik kejiranan.
Keraguan itu semakin bertambah apabila kepercayaan orang ramai terhadap keberkesanan vaksin selesema berkurangan berikutan kesilapan semasa penyimpanan.
Pakar kesihatan menasihati orang ramai, terutama anak kecil untuk segera mendapatkan vaksin. Keberkesanan suntikan selesema berbeza bergantung pada faktor seperti usia iaitu dalam lingkungan antara 40 hingga 60 peratus.
Negara itu menambah 110 lagi kes Covid-19 hari ini termasuk 99 jangkitan tempatan sekali gus meningkatkan jumlah kes kepada 23,216, menurut KDCA.- Bernama