PASIR PUTEH - Cubaan sekumpulan nelayan asing warga Vietnam yang menggunakan teknik 'zigzag' untuk meloloskan diri selepas mencuri hasil gamat di negara ini gagal apabila mereka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan semalam.
Kumpulan nelayan asing Vietnam yang terdiri daripada seorang tekong dan empat awak-awak masing-masing berusia antara 40 hingga 49 tahun itu ditahan pada jam 10.15 pagi dari jarak 54.2 batu nautika dari muara Tok Bali.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, sebelum itu bot tersebut telah menghanyutkan tali berukuran 100 meter yang dipasang pada sauh bagi mengelakkan daripada ditahan.
"Bagaimanapun, kecekapan anggota pasukan dari bot Kilat 28 berjaya mematahkan cubaan nelayan asing itu untuk meloloskan diri.
"Anggota APMM Kelantan terpaksa bertarung selama 10 minit sebelum berjaya menumpaskan kumpulan nelayan Vietnam itu dengan mengerah segala kemahiran yang ada," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati kesemua nelayan itu gagal mengemukakan pengenalan diri dan dokumen sah berkaitan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di kawasan perairan Malaysia.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu membawa kepada penemuan 250 kilogram gamat basah yang dianggarkan bernilai antara RM300 hingga RM1,000 sekilogram jika dikeringkan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 kepada awak-awak jika disabitkan kesalahan.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, peralatan menangguk, gamat dan minyak diesel dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, siasatan awal mendapati nelayan terbabit menggunakan tangguk besi untuk menangkap gamat.
Katanya, kumpulan itu bukan sahaja merompak hasil laut negara tetapi turut memusnahkan ekosistem dasar laut dan hidupannya.
"Hasil kajian dan risikan turut mendapati nelayan asing mampu mencuri sehingga tiga tan sehari gamat terpilih dari gred A yang mungkin boleh membawa kepada kepupusan spesis hidupan itu sekiranya kegiatan itu tidak ditangani," katanya.