Bukan masa untuk menangguk di air keruh: MB Perak

Iklan
Ahmad Faizal Azumu

IPOH - Kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama berganding bahu ketika ini untuk menyelamatkan ekonomi negara berbanding melayan percaturan politik pihak-pihak tertentu demi kepentingan peribadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, untuk itu, pentadbiran kerajaan Perak menyambut baik Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin atau Kita Prihatin yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pakej Kita Prihatin itu membuktikan pentadbiran kerajaan Persekutuan berpegang kepada janji untuk menjadi sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Dalam menempuhi tempoh yang amat mencabar ini, rakyat memerlukan kepimpinan kerajaan yang sentiasa peka dengan hitung nasib mereka demi untuk menyara keluarga dan meneruskan kehidupan. Rakyat sama sekali tidak mahu tumpuan kerajaan teralih kepada permainan dan percaturan politik pihak-pihak tertentu yang hanya merugikan negara dan rakyat.

Iklan

"Ini adalah masanya untuk kerajaan berganding bahu, bersatu iltizam dengan rakyat bagi menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela, bukannya menangguk di air yang keruh demi kepentingan peribadi dan kelangsungan politik sempit pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bantuan diumumkan itu dirangka mengambil kira kesukaran dilalui oleh rakyat dan golongan peniaga yang masih bergelut untuk terus kekal berdaya saing akibat impak besar pandemik Covid-19 terhadap semua sektor ekonomi.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin umum BPN 2.0 berjumlah RM7 bilion

Menurutnya, dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion itu golongan sasar terlibat terdiri daripada 10.6 juta penerima dapat menarik nafas lega.

"Kerajaan Negeri Perak juga amat mengalu-alukan Program Subsidi Upah 2.0 yang akan membantu meringankan beban para majikan yang terkesan untuk terus mengekalkan para pekerja.

"Justeru, pentadbiran kerajaan negeri sekali lagi ingin mengalu-alukan langkah kerajaan Persekutuan memperkenalkan pakej Kita Prihatin dan akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua bantuan yang diumumkan sampai kepada golongan sasar," katanya.

Hari ini, Muhyiddin menerusi Perutusan Khas Pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

Muhyiddin berkata, bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya pada bulan Januari 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar