PRN Sabah: Garis panduan cegah Covid-19 kekal

Iklan
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memakai sarung tangan ketika menyapu dakwat pada jari. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Garis Panduan Pencegahan koronavirus (Covid-19) sepanjang urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang disiarkan pada 11 September lepas adalah kekal dan terpakai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagaimanapun, bagi kawasan Zon Merah, kempen rumah ke rumah perlu dikurangkan dan hanya seorang atau dua orang sahaja dibenarkan masuk ke rumah bagi menjalankan kempen dengan syarat mematuhi penjarakkan fizikal.

Iklan
Iklan

"Begitu juga bagi aktiviti ceramah yang dihadkan hanya kepada 30 orang tertakluk kepada permit yang dikeluarkan pihak polis. Calon digalak memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial," menurut kenyataan itu di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya satu atau dua individu sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam rumah apabila membuat kempen rumah ke rumah untuk PRN Sabah.

Iklan

Sebelum ini, pada 11 September lepas, SPR telah mengeluarkan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan dengan ketat sepanjang tempoh PRN Sabah sehingga Sabtu ini.

Antara perkara utama yang diberi keutamaan dalam garis panduan itu ialah pematuhan penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, proses saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran bagi semua aktiviti serta proses berkaitan pilihan raya. - Bernama

Iklan