KUALA LUMPUR - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan peminjam untuk berunding dengan pihak bank bagi membincangkan pembayaran pinjaman mereka sebelum tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah berkata, peminjam akan merujuk AKPK untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan sekiranya cadangan bank tidak memenuhi permintaan mereka atau mempunyai banyak komitmen kewangan dengan bank lain.
"AKPK akan membantu mereka membuat rancangan pembayaran setelah mempertimbangkan komitmen kewangan keseluruhannya," katanya pada sesi meja bulat media bersama Ketua Pegawai Eksekutif bank terpilih dan AKPK di sini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia, Mohd Muazzam Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda; Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan dan Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul.
Azzadin berkata, AKPK juga akan memberikan kaunseling dan pendidikan mengenai pengurusan kewangan yang berhemah.
"Semua ini akan membolehkan peminjam meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja," katanya.
Sementara itu, Bank-bank di Malaysia diyakini terus berdaya tahan dan berkembang walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, industri perbankan di Malaysia dilihat mampu menyerap kejutan ekoran prestasi ekonomi semasa dan ditambah dengan penularan pandemik Covid-19.
"Saya rasa industri perbankan negara berada dalam kedudukan kukuh berbanding krisis kewangan pada tahun 1997.
"Saya yakin sekiranya kita berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19 dan dengan pemulihan ekonomi menerusi usaha yang dilakukan kerajaan, maka ekonomi boleh berkembang semula," katanya.
Abdul Rahman berkata, kedudukan ekonomi bakal menunjukkan pemulihan sekiranya Industri perbankan kukuh dan mampu memberikan pembiayaan kepada pelanggan.
"Dengan perkembangan ini, ia sekali gus memastikan bahawa ekonomi semasa semakin berkembang," katanya.
Sementara itu, Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul menjelaskan bahawa kualiti aset bank-bank di Malaysia selepas berakhirnya moratorium pada 30 September ini dijangka lebih baik bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
"Industri perbankan sememangnya menghadapi cabaran susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan moratorium secara automatik. Jika diperhatikan, prestasi kewangan dalam suku kedua, kebanyakan bank menghadapi cabaran yang diterjemahkan menerusi rosot nilai.
"Apa yang menarik selepas berakhirnya moratorium ini ialah kualiti aset akan lebih baik dan berada dalam keadaan sebelum Covid-19 dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya.