ORANG yang bijak ialah orang yang sentiasa memikirkan tentang risiko dan akibat sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu sama ada keputusan itu dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Peribahasa Melayu ada menyebut ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’.
Memang sangat benar peribahasa tersebut. Orang yang berwaspada dalam hidupnya tidak mudah untuk mengeluarkan sesuatu perkataan yang tidak elok seperti kata-kata yang berbau fitnah, kata-kata menghina, mengadu domba dan seumpamanya.
Orang yang berwaspada juga bukan sahaja berhati-hati mengeluarkan sesuatu perkataan, malah berhati-hati dengan tindak-tanduknya. Dia akan memastikan perbuatannya tidak akan memudaratkan dirinya, apatah lagi orang lain.
Jika kita lihat apa yang berlaku pada hari ini, banyak bicara di media sosial tidak lagi berlapik. Luahan kata-kata tidak lagi dialasi dengan sesal dahulu. Sikap tidak mengambil peduli tentang risiko dan kesan terhadap ungkapan yang dikeluarkan semakin berleluasa akhir-akhir ini.
Mungkin kerana bicara itu bukan diluah di hadapan muka orang yang dituju, maka perasaan malu, rasa bersalah dan seumpamanya tidak menjenguk hati orang yang mengeluarkan kata-kata yang tidak elok itu. Hatinya menjadi kering kerana tiada pertemuan mata ketika berbicara. Hatinya juga kering kerana tiada wajah yang dilihat ketika berbicara.
Malah kita juga dapat lihat pada hari ini, tidak sedikit orang yang sanggup melakukan perbuatan yang dilarang dari sudut agama dan undang-undang seperti membunuh, mencederakan, merampas hak orang lain dan seumpamanya. Perbuatan-perbuatan salah tersebut tidak akan dilakukan jika sikap sesal dahulu menjadi pegangan hidup.
Dalam al-Quran ada digambarkan tentang penyesalan orang-orang yang banyak berbuat dosa. Dalam surah al-Mukminun ayat 99-100, ALLAH SWT berfirman yang maksudnya:"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, berkatalah ia - Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.
"Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu adalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”Dalam ayat di atas, diceritakan tentang orang-orang yang meninggal dunia dalam keadaan penuh dosa, merayu-rayu agar dikembalikan semula ke dunia untuk berbuat kebaikan tetapi sesal kemudian memang tidak berguna lagi. Rayuan mereka ketika itu tidak bermakna lagi.
Penyesalan yang berlaku selepas sesuatu perkataan dan perbuatan yang dilakukan masih lagi bermakna sekiranya jasad masih dikandung badan kerana orang berkenaan masih ada peluang untuk memohon maaf kepada pihak yang disakiti dan seterusnya bertaubat.Namun, jika penyesalan itu tidak pernah menjengah hati sepanjang nyawa dikandung badan, golongan itulah yang akan menangis dengan penuh penyesalan apabila dia meninggal dunia nanti.
Kerana pada saat itu, tiada apa yang boleh diguna untuk membela diri dan mendapat rahmat ALLAH SWT. Pada saat itu, barulah diri sedar bahawa amalan kebaikan yang disia-siakan semasa hayat di dunia sangat-sangat diperlukan selepas kematian.Oleh itu, insaflah bahawa penyesalan yang sudah terlewat tidak memberi apa-apa makna. Apabila nyawa telah dicabut, bukan lagi masa untuk berbuat kebaikan tetapi ia adalah masa untuk menerima balasan apa juga dilakukan semasa hayat dikandung badan. Wallahuaklam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah