PBNP terkilan dengan kenyataan FAM isu Sumareh

Iklan
Mohammed Suffian

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terkilan dengan kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta badan induk negeri itu mengendalikan diri dengan lebih bertanggungjawab untuk mengelak kes Mohamadou Sumareh mengenai Klausa 8.7 yang sedang berlaku ketika ini.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kenyataan FAM itu seolah-olah menyalahkan PBNP sedangkan perkara itu masih belum dibicarakan dan PBNP tidak dipanggil untuk menjelaskan fakta sebenar.

Iklan
Iklan

"Apabila FAM meminta kami untuk mengendalikan diri dengan lebih bertanggungjawab untuk mengelak kes Klausa 8.7 seperti Sumareh ini berlaku ia seolah meletakkan kesalahan kepada PBNP.

"Apa yang dikatakan oleh Sumareh itu adalah tuduhan kepada kami dan kami berhak untuk membela diri. Kami ada bukti dan sebagainya yang boleh diketengahkan.

Iklan

"Jika benar sekali pun nak tunggu keputusan FIFA, apa salahnya untuk FAM panggil PBNP dan Sumareh untuk kami menjelaskan perkara sebenar. Bukan kami minta untuk lakukan pendengaran atau sebagainya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, PBNP dalam satu kenyataan semalam menyifatkan FAM seperti tidak berminat untuk membantu Pahang menyelesaikan kes Sumareh tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, FAM tampil menjelaskan bahawa persatuan itu menunggu keputusan daripada FIFA selain meminta PBNP mengendalikan diri dengan lebih bertanggungjawab untuk mengelak kes Klausa 8.7 seperti Sumareh ini berlaku.

Mengulas lanjut, Mohammed Suffian menegaskan pihaknya tidak berminat untuk bergaduh dengan FAM, sebaliknya mengharapkan tindakan lebih adil dapat diberikan kepada PBNP.

"Saya tidak faham kenapa nak kena tunggu keputusan FIFA. Sumareh ini pemain Malaysia dan bukan Gambia lagi. Kalau dia nak meletakkan diri sebagai pemain Gambia, pulangkanlah balik kerakyatan tu dan boleh bawa kes ini kepada FIFA," katanya.

Menurutnya, kes ini bertambah rumit selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendedahkan bahawa mereka telah mendapat kebenaran untuk berunding dengan Sumareh dan dalam masa sama FAM menjelaskan kepada FAS status kes semasa mengikut pemahaman FAM bahawa kontrak pemain itu dengan Pahang sudah terbatal secara sebelah pihak seperti yang terkandung dalam kontraknya.

"FAM tidak boleh berkata begitu kerana kes ini masih belum selesai. Mereka pun belum panggil kami beri penjelasan, tiba-tiba bagitahu mengikut pemahaman mereka kontrak dah terbatal," katanya.