Masidi fokus pembangunan usahawan belia dalam pertanian

Iklan
Masidi Manjun bersama penduduk di Kampung Pulutan Ranau dalam satu program kunjungan mesra bertemu rakyat sebelum ini.

RANAU - Usaha membangunkan usahawan belia dalam bidang pertanian menjadi tumpuan utama calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Penyandang kerusi DUN Karanaan itu berkata, usaha tersebut pastinya dapat direalisasikan sekiranya beliau diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat bagi penggal yang akan datang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Iklan
Iklan

"Ranau mempunyai tanah yang luas dan subur selain belianya juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menjadi petani, hanya yang kurang ialah modal awal untuk terlibat dalam bidang pertanian.

"Oleh itu hasrat dan perancangan saya ialah bagaimana kita mendapatkan modal pusingan untuk membantu belia menceburi bidang pertanian," katanya selepas berkempen di Kampung Karanaan di sini.

Iklan

Masidi yang juga Timbalan Ketua Penyelaras Bersatu Sabah, berkata belia di daerah Ranau mampu bersaing kerana mempunyai kesungguhan untuk berjaya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti kempennya, Masidi berkata, sambutan pengundi amat baik dan berharap ia akan diterjemahkan pada hari pengundian.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pengundi seramai 13,425 di DUN itu menjadi cabaran kerana sukar bersemuka dengan semua pengundi susulan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, mengadakan pilihan raya dalam keadaan pandemik Covid-19 tidak mengizinkan untuk acara yang melibatkan ramai pengunjung di sesebuah kawasan mahupun tempat.

"Untuk bertemu dengan pengundi, saya mengadakan lebih banyak program bertemu rakyat tetapi dalam jumlah yang kecil," katanya yang juga menggunakan bahasa Dusun ketika berceramah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Masidi yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), menang dengan majoriti 3,782 undi.

Pada PRN Sabah kali ini, Masidi berdepan tiga calon lain iaitu Mohd Tajuddin Sadi (USNO), Hadzrul Masnin (PCS) dan calon Warisan, Awasi Ganie@Yasin Abdul Ghani. - Bernama