TENOM - Kerajaan akan menaiktaraf Jalan Luar Bandar (JALB) sepanjang 35.6 kilometer (km) di Ulu Tomani, Tenom, Sabah dengan melibatkan kos berjumlah RM189,068,550.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kementerian percaya projek naik taraf itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi masyarakat sekitar jajaran dari Kuala Tomani ke Ulu Tomani.
"Projek ini adalah projek menaiktaraf jalan sedia ada kerana keadaan jalan yang berlubang-lubang, berlumpur dan licin terutamanya ketika musim hujan serta berhabuk pada musim panas. Jalan ini merupakan jalan penghubung dari Kuala Tomani ke Kampung Ulu Tomani (Kamping Bekuku) dan seterusnya ke Kampung Kang/Kampung Alutok.
"Jalan ini terletak 60km dari Pekan Tenom iaitu di Kemabong yang melibatkan Skim Penempatan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Kuala Tomani, Klinik Ulu Tomani dan juga lima buah sekolah, tadika serta perpustakaan Desa Ulu Tomani," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd Latiff turut melahirkan keyakinan bahawa projek naik taraf JALB itu dapat dimanfaatkan penduduk sekitar dan pengguna jalan dari Kuala Tomani ke Ulu Tomani sekaligus mampu mengurangkan masa perjalanan daripada tiga jam kepada 45 minit.
"Projek naik taraf itu juga dapat memberi akses perhubungan yang lebih baik dan selesa kepada kira-kira 5,000 penduduk meliputi 11 buah kampung, selain menjadi pemangkin ekonomi dan pembangunan di kawasan luar bandar secara amnya serta memudahkan untuk mengangkut keluar hasil pertanian ke bandar.
"Malah kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan sebanyak 102 projek JALB dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi pembinaan jalan luar bandar di Sabah sepanjang Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11)," katanya.